• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Ragbi Wanita, Lelaki Terengganu 'Sama-sama Naik'

KUALA TERENGGANU, 15 Jun- Pasukan ragbi lelaki dan wanita Terengganu, masing-masing membuat kejutan serentak dengan mara ke peringkat akhir bagi perebutan kejuaraan Kejohanan Ragbi Lelaki Bawah 19 Tahun Kebangsaan edisi ke-5 penganjuran dan Kejohanan Ragbi Wanita 15 Sepasukan Kebangsaan yang julung kali dipertandingkan.

Terengganu yang hadir selaku pasukan bukan pilihan bagi kedua-dua kategori mengejutkan lawan apabila berjaya melepasi peringkat kumpulan meskipun pasukan wanita Terengganu berada kumpulan maut bersama pasukan pilihan iaitu Kedah dan Polis Diraja Malaysia(PDRM) bagi aksi Kumpulan B wanita.

Pengurus Pasukan Ragbi Terengganu, Nizam Kamal menzahirkan kesyukuran dengan kejayaan yang diraih skuadnya.

"Kedua-dua pasukan ini sememangnya pada awal lagi bukan pasukan pilihan setelah diundi dalam kumpulan masing-masing.

"Kita tidak boleh nafikan pasukan-pasukan lain membuat persediaan yang lebih awal dengan program latihan masing-masing berbanding kita yang baru bermula sewaktu pasca COVID-19 ini.

Nizam Kamal, Pengurus pasukan Ragbi Terengganu.

"Alhamdullilah, berkat kerjasama jitu Persatuan Ragbi Negeri Terengganu yang memberi komitmen penuh membantu persiapan pasukan, kita berjaya ke tahap ini walaupun program latihan kami hanya bermula tiga minggu sebelum kejuaraan membuka tirai," katanya kepada pemberita selepas perlawanan terakhir di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kuala Nerus, baru-baru ini.

Tambahnya, beraksi di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kuala Nerus ternyata membawa tuah buat pasukan wanita apabila menafikan kehebatan PDRM yang hadir selaku pasukan pilihan dengan dua jatuhan try untuk berkeputusan 14 berbalas 3.

Situasi terkini ini meletakkan pasukan ragbi wanita Terengganu layak untuk mara ke pusingan penentuan separuh akhir bertemu Selangor pada Sabtu ini di Padang Utara, Petaling Jaya.

Pasukan lelaki yang diundi di dalam kumpulan B  bersama Wilayah Persekutuan Labuan dan Pahang pula mudah mengenepikan saingan lawan apabila menang 13-8 dalam aksi pertama (menentang Labuan) dan 11-0 pada aksi kedua (menentang Pahang).

"Untuk situasi terkini, pasukan lelaki bawah 19 tahun mara ke suku akhir dan akan bertemu Kuala Lumpur juga pada Sabtu ini di Stadium Ragbi TUDM, Subang," katanya.


Tag: