lightning-solid
Berita :
Raih Pendapatan Tertinggi, Prestasi Syarikat Pelaburan Strategik Terengganu Luar Biasa
Raih Pendapatan Tertinggi, Prestasi Syarikat Pelaburan Strategik Terengganu Luar Biasa
Adli Mohamad
11 Nov 25
409

KUALA TERENGGANU, 11 November - Kejayaan anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Incorporated (Terengganu Inc.) meraih pendapatan RM1.75 bilion merupakan pencapaian membanggakan serta disifatkan luar biasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed menyifatkan, lonjakan yang dicapai mencerminkan kecekapan pengurusan serta strategi berimpak tinggi yang menunjukkan keupayaan kerajaan negeri memanfaatkan aset-aset milik rakyat untuk menjana hasil yang mampan.

Ujarnya, 2018 menjadi titik permulaan pencapaian yang diraih oleh anak syarikat kerajaan negeri itu dengan pendapatan RM900 juta yang kemudiannya terus melonjak sehingga mencatatkan angka pendapatan sebagaimana yang diraih pada tahun lalu.

"Lebih membanggakan, Terengganu turut kekal sebagai negeri terbaik dalam ketelusan belanjawan, menduduki tempat pertama di Malaysia bagi tahun 2022 dan 2024.

"Pencapaian ini bukan sekadar pengiktirafan di atas kertas, tetapi cerminan kepada budaya tadbir urus yang berintegriti dan bertanggungjawab.

"Ia menunjukkan setiap ringgit yang dibelanjakan oleh kerajaan negeri dapat dijejaki, dinilai, dan dipertanggungjawabkan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Belanjawan 2026 dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai pencapaian lain, Ahmad Shah berkata, Indeks kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2024 merupakan antara perkara mengujakan rakyat apabila Terengganu dinobatkan sebagai negeri paling bahagia di Malaysia dengan skor 8.64.

"Ini bukan sekadar angka, tetapi gambaran sebenar terhadap suasana harmoni, kesejahteraan sosial, dan kualiti hidup rakyat di negeri ini," ujarnya.


Tag :

Artikel Berkaitan