Raja Muda Terengganu Lawat Kampung Budaya

KUALA TERENGGANU, 18 Februari- Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli ‘turun padang’ ke Kampung Budaya Terengganu (KBT) bagi mengetahui lebih lanjut berkaitan seni, budaya dan warisan negeri.

Keberangkatan tiba baginda di perkampungan budaya yang mempunyai pelbagai tarikan berkonsepkan ‘muzium hidup’ itu disambut Pengarah Unit Pembangunan Negeri Terengganu (UPEN), Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.

Turut menyambut ketibaan baginda, Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Azran Amin Mazlan, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Ahmad Ridzwan Abd Rahman, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Fauzi Muda dan Pengurus Besar KBT, Ahmad Fathil Abd Ghani.

Sebaik tiba, Tengku Muhammad Ismail berkenan mendengar taklimat ringkas berkaitan KBT oleh Pengarah JPNT dan juga taklimat berkaitan projek membina dan menaiktaraf KBT oleh Pengarah Kerja Raya Negeri.

Dalam lawatan sama, baginda dibawa melihat aktiviti demontrasi permainan tradisonal seperti tuju selipar, baling nyiur, ting ting bulu ayam, tapak gajah, terompah gergasi dan gelek rim.

Yang di-Pertuan Muda turut mencemar duli melihat demonstrasi songket, tanjak dan seni telepuk selain demonstrasi memproses makanan tradisional, antaranya laksa kebok, kuih mas cotek, jala emas, lok lik dan ketupat palas.

Sebelum berangkat pulang, baginda sempat menyaksikan persembahan kebudayaan iaitu silat kura-kura dari Hulu Terengganu, Muzik Gamelan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman serta tarian rakyat oleh Sekolah Kebangsaan Tok Jembal.