• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Rakyat Diminta Bersabar, Bekalan Air Akan Pulih

Dr Mamad Puteh.
KUALA TERENGGANU - Rakyat Negeri Terengganu di kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air diminta bersabar buat sedikit waktu lagi kerana usaha pemulihan sedang dijalankan oleh Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU).

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, beliau telah menerima laporan perkembangan terkini gangguan bekalan air tidak berjadual daripada SATU pada 9:00 pagi tadi.

Menurutnya, berdasarkan aduan dan semakan di tapak, masih terdapat gangguan melibatkan kawasan Kuala Terengganu di Kuala Ibai, Sungai Derhaka dan sekitarnya serta Kuala Nerus di Tok Jiring, Tok Jembal, Wakaf Tengah , Maras dan sekitarnya.

Katanya, punca gangguan adalah disebabkan ‘air-lock’ dlm sistem agihan dan penggunaan yang serentak pada hari minggu.

"Kerja-kerja 'shut down' sedang dilakukan dengan persetujuan kedua-dua belah pihak melibatkan SATU dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"TNB perlu menukar alat suis manakala SATU perlu buat kerja-kerja senggaraan (internal).

"Pihak SATU mula melakukan kerja-kerja mengepam air namun malangnya terganggu akibat alatubah kepunyaan SATU rosak menyebabkan bekalan elektrik terputus semula.

"Kerja-kerja TNB sedikit tertangguh akibat daripada masalah teknikal yang tidak disangka di tapak (kabel tamatan pada alat suis)," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita hari ini (28 September), mengulas tentang masalah ketiadaan air di beberapa kawasan, sejak semalam.

Dalam perkembangan yang sama, Dr Mamad Puteh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang menambah, masalah bekalan elektrik yang berulang tersebut menyebabkan tangki utama rendah pada Loji Air Mentah, Serada, Kuala Terengganu.

"SATU telah mengambil langkah membuat ‘scouring’ pada kawasan yang terlibat dan menghantar bekalan lori air kepada pengguna terutama pusat-pusat kesihatan.

"Pemantauan secara berterusan sedang dilakukan.

"Saya harap rakyat dapat bertenang buat sementara waktu. Minimakan penggunaan air dalam tempoh gangguan ini.

"Insya-Allah dalam masa satu atau dua hari bekalan air akan pulih sepenuhnya," tambahnya.


Tag: