• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Rakyat Dipelawa Beri Idea Jayakan Draf Rancangan Tempatan MDM

KUALA TERENGGANU, 13 September- Orang awam diminta memberi cadangan dan idea bagi menjayakan Draf Rancangan Tempatan Majlis Daerah Marang (MDM), Terengganu 2035 (Penggantian).

Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Negeri, Tuan Zuraihan Tuan Lah berkata, pandangan boleh dikemukakan mulai 17 September hingga 16 oktober ini di dua lokasi tetap iaitu Majlis Daerah Marang dan Pejabat Daerah dan Tanah Marang.

“Selain itu, kami juga menyediakan pameran di tujuh lokasi bergerak bagi memastikan publisiti dibuat secara menyeluruh dan memberi peluang sama rata kepada semua pihak untuk membuat pemeriksaan.

“Lokasi bergerak adalah di KTCC Mall (24 September - 8 Oktober ); Pasar Raya PXR, Wakaf Tapai (25 September 2023); Masjid Rusila  (28 September 2023); Taman Rekreasi Pulau Kekabu (30 September 2023); Pasar Bukit Payung (7 Oktober 2023); Pasar Bandar Marang (10 Oktober 2023); dan Masjid Bukit Payung (13 Oktober 2023),” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran di TV Darul Iman, Bicara Jabatan Kerajaan : Program Publisiti Dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Majlis Daerah Marang, Terengganu 2035 (Penggantian) di sini, semalam.

Menurut beliau, tujuan Program Publisiti Dan Penyertaan Awam adalah untuk memberi peluang kepada semua pihak, sama ada tuan tanah, pengusaha, pemaju, perunding dan sesiapa sahaja terutamanya penduduk yang tinggal di daerah Marang untuk menyemak, meneliti dan memahami kandungan Draf Rancangan Tempatan Daerah. 

“Seterusnya memberi maklum balas, pandangan atau bantahan jika tidak bersetuju terhadap sesuatu cadangan atau memberi cadangan-cadangan lain kepada pihak berkuasa negeri. 

“Program ini juga sebagai platform utama kepada pihak berkuasa tempatan untuk mendengar aspirasi dan keperluan rakyat dalam merancang pembangunan di daerah Marang pada masa akan datang,” ujarnya.

Mengulas lanjut katanya, di peringkat Laporan Draf Rancangan Tempatan Daerah, semua pihak termasuk orang awam boleh membuat semakan terhadap data-data guna tanah semasa, data pertanian, perhutanan, kawasan padi, perindustrian, komersial, tempat-tempat pelancongan dan pelbagai jenis data.

“Kemungkinan terdapat data-data atau maklumat penting yang tertinggal dan tidak dimasukkan dalam laporan, jadi mereka boleh memberi input tersebut.

“Mereka juga boleh menyemak isu-isu dan potensi strategik daerah termasuk matlamat pembangunan daerah, cadangan konsep pembangunan daerah, sasaran pencapaian Marang sehingga tahun 2035 serta strategi pembangunan Daerah Marang,” jelasnya.