MARANG, 2 Jun - Kerajaan Persekutuan digesa menimbang semula arahan penggunaan Gas Tanpa Subsidi 14 kilogram (kg) komersial berharga RM70 bermula 1 Mei baru-baru ini kerana membebankan peniaga.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato' Ariffin Deraman berkata peniaga kecil dan pengusaha kedai makan amat terkesan dengan arahan kerajaan tersebut dan harga makanan dijangka meningkat kesan dari penggunaan gas tersebut.
Menurutnya, langkah Kerajaan Persekutuan itu sebagai tindakan tergesa-gesa tanpa kajian mendalam mengenai kesan penggunaan gas tersebut.
"Sepatutnya Kerajaan Persekutuan menangguh atau menarik balik terus arahan tersebut kerana ia satu keputusan tidak matang dan separuh masak," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat seterusnya berkata peniaga khususnya pengusaha makanan dan minuman sebelum ini pun sudah terbeban dengan kenaikan harga barang yang tidak menentu.
"Keadaan ini menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga jualan untuk mempastikan perniagaan mereka mendapat keuntungan yang menasabah dengan keadaan semasa," ujarnya yang juga Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunan PAS Terengganu (HAKS).
Tambah Ariffin, beliau juga sependapat dengan Pengerusi HAKS PAS Pusat, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin yang mendesak Kerajaan Persekutuan menangguhkan atau membuat pertimbangan semula keputusan itu supaya orang ramai tidak terbeban akibat penggunaan gas tersebut.
Terdahulu dari itu, HAKS PAS Pusat menggesa Kerajaan menangguhkan pelaksanaan kewajipan penggunaan tong gas tidak bersubsidi itu sehingga kajian impak ekonomi dan sosial yang menyeluruh dijalankan.
Pengerusi HAKS, Ir Ts Khairil Nizam dalam satu kenyataan media baru-baru ini berkata, keputusan itu akan memberi impak besar terhadap ekonomi mikro dan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Beliau berkata, peniaga kecil dan penjaja, terutamanya di kawasan luar bandar dan pinggir bandar, sangat bergantung kepada subsidi untuk mengekalkan kos operasi yang rendah.
Ir Ts Khairil Nizam turut menegaskan, banyak peniaga kecil berisiko menutup perniagaan atau mengurangkan tenaga kerja akibat peningkatan kos operasi.
“Berdasarkan pemerhatian dan laporan dari akar umbi, ramai peniaga kecil kini berdepan margin keuntungan yang semakin nipis, dan ada yang terpaksa menggantung operasi perniagaan mereka kerana tidak mampu menanggung kos yang semakin meningkat.
“Terdapat juga kajian menunjukkan hampir 40 peratus peniaga makanan kecil mengalami penurunan jualan lebih 20 peratus akibat kos dan penurunan kuasa beli pengguna,” ulasnya.