• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Rakyat Terengganu Berperanan Kembalikan Identiti Negeri

KUALA TERENGGANU, 31 Ogos – Rakyat Terengganu mesti mengembalikan semula jati diri dan identiti negeri sebagai wilayah yang pernah ditadbir di bawah pemerintahan Islam secara syumul sebelum dirobek penjajah.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar membuat seruan itu ketika menyampaikan perutusan pada Perarakan Perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2023 Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah di sini hari ini.

Katanya, erti kemerdekaan sebenar adalah membabitkan kemerdekaan jiwa dan minda bukan sekadar luaran semata-mata.

"Kita tidak mahu ada antara kita berwajah melayu tapi berhati penjajah.

“Kita punya jati diri sendiri yang terakam kukuh dalam sejarah panjang bangsa ini.

“Identiti dan jati diri kita telah dipupuk dan disemai sejak ratusan tahun dahulu berlandaskan Islam dan pemerintahan Islam,” jelasnya.

Tambah Ahmad Samsuri, negeri Terengganu telah ditadbir dengan Islam sejak 700 tahun dahulu.

Ujarnya, perkara itu dibuktikan melalui tulisan dalam bahasa Melayu lama yang terukir kukuh pada Batu Bersurat yang bertarikh 1303 masihi di Terengganu.

Selain itu, Terengganu juga ditadbir dengan keadilan dan keindahan Islam oleh Sultan Zainal Abidin I, Baginda Omar dan Sultan Zainal Abidin III yang membangunkan Itqan al Muluk Bita’dil As-Suluk.

“Sehingga datangnya penjajah mencabut akar jati diri kesyumulan Islam daripada pemerintahan di Terengganu dan Tanah Melayu," jelasnya.

Maka ujarnya, menjadi tugas dan peranan rakyat Terengganu yang hidup pada hari ini untuk mengembalikan identiti dan jati diri yang sebenar bagi negara kita.

“Selaras dengan tema hari kebangsaan kali ini 'Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan', jelas menggambarkan bahawa semangat perpaduan merupakan senjata yang amat penting yang perlu kita miliki dan pelihara.

“Kita perlu akui dan menerima hakikat bahawa Malaysia sebuah negara berbilang kaum yang unik dan sebuah persekutuan daripada pelbagai negeri.

"Keunikan inilah yang menjadikan kita istimewa dan terbilang di mata dunia,” ujarnya

Terdahulu, Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan sambutan terbabit.

Turut mengiringi baginda, Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Muhammad Mua’az dan Tengku Seri Utama Daulath Raja, Tengku Fatimatuz Zahra.

 


Tag: