KUALA TERENGGANU, 15 Januari - Kerajaan negeri sangat menghargai dokongan seluruh rakyat Terengganu selama ini sentiasa ini meyokong dan mendokong usaha dakwah dan tarbiah yang menjadi agenda utama ke arah menjadikan Terengganu sebuah negeri yang benar-benar dirahmati Allah.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, program seumpama Bulan Penghayatan Israk dan Mikraj sentiasa disambut baik oleh seluruh masyarakat di negeri ini dalam usaha memastikan rakyat negeri ini memiliki kesedaran yang tinggi iaitu mengutamakan ibadat solat.
Ujarnya, program dakwah seumpama BPIM ini menjadi satu program utama kerajaan negeri apabila menjelangnya Bulan Rejab yang sinonim dengan peristiwa Israk dan Mikraj yang menjadi detik permulaan solat menjadi kefarduan kepada setiap muslim.
"Solat ini menjadi kewajipan untuk diri masing-masing, semua mesti mendirikan sembahyang kerana itulah program BPIM ini kita aturkan di semua peringkat melibatkan seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN), masjid, surau, seluruh jabatan dan agensi supaya kita sama-sama mengingati kewajipan ibadat yang sangat penting ini,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majls Perasmian BPIM Peringkat Negeri Terengganu, di Ruang Legar Kuala Terengganu City Centre, di sini, hari ini.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Mohd Nor Hamzah.
Mengulas lebih lanjut, Dr. Muhammad Khalil juga berkata, Terengganu konsisten mengadakan BPIM itu juga adalah bagi meningkatkan kesedaran serta membangkitkan semangat rakyat untuk terus bersolidariti memperjuangkan kebebasan Masjid Al-Aqsa agar kembali ke tangan umat Islam.
"Melaluinya, berlaku peristiwa yang mengingatkan kita kepada masjid Al-Aqsa ini di mana tempat Nabi Muhammad SAW diisrakkan dan dimikrajkan ke langit yang hari kita semua maklum atas apa yang belaku, masjid ini masih berada di tangan Zionis Yahudi yang dilaknat oleh Allah,"katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) serta semua yang terlibat menjayakannya.
"Semoga majlis ini menjadi pencetus kesedaran dalam mebina negeri yang benar-benar dirahmati Allah SWT,"ujar beliau.

