• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Rakyat Terengganu Perlu Budayakan Tabiat Membaca


Oleh : Adli Mohamad

KUALA NERUS, 12 Ogos- Rakyat Negeri Terengganu perlu menggunakan peluang penganjuran karnival atau pesta buku di negeri itu untuk membudayakan tabiat membaca dikalangan generasi muda.

Pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Cawangan Pahang, Siti Aisyah Munirah Bohang berkata, membaca adalah satu kepentingan dan menjadi kunci kepada ilmu untuk mengetahui pelbagai perkara.

"Pandangan yang mengatakan golongan terpelajar dan khusus untuk mereka yang bekerjaya tertentu sahaja perlu ada minat membaca tidak tepat, kerana kita ini manusia yang perlu menimba ilmu dari bahan bacaan tanpa mengira siapa dan faktor usia.

"Budaya membaca perlu dipupuk dari awal usia, ibu bapa perlu didik anak mereka untuk membaca dengan cara ibu bapa juga perlu mempunyai minat untuk membaca, maka mereka akan menjadi contoh kepada anak-anak," katanya ketika ditemui di karnival buku 'Big Bad Wolf', yang berlangsung di Mydin Mall, Gong Badak, baru-baru ini.
Sementara itu, Pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) Izham Johari Mohamad, 45, berpendapat antara aktiviti yang boleh dilakukan untuk memupuk minat sukakan bahan bacaan adalah dengan meluangkan masa membawa keluarga ke pameran-pameran buku.
"Di pesta buku, karnival atau apa sahaja festival yang  berkaitan dengan buku, saya membiarkan sahaja anak-anak saya memilih bahan bacaannya sendiri dan tidak berkira untuk mengeluarkan belanja kepada anak-anak untuk membeli buku.
"Sebagaimana hari ini, apabila saya bawa anak saya ke 'Big Bad Wolf' ini dia memilih komik, bagi saya tiada masalah kerana dia baru sahaja ingin menyemai minat membaca dan saya yakin satu masa nanti dia akan memilih bahan bacaan yang lain dan lebih baik," katanya.
Sementara itu, Pegawai  Kewangan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Mohd Khaliq Iqhwan, 34 pula berharap, kerajaan negeri akan mengadakan lebih banyak program berkaitan buku yang semakin mendapat tempat dikalangan masyarakat mutakhir ini.
"Kalau boleh biarlah ia diadakan berterusan, paling tidak, adakan enam bulan sekali dan lebih baik jika kerajaan negeri yang anjurkan.
"Ini kerana, anak-anak perlu didedahkan dengan kisah-kisah nabi, cerita rakyat, supaya minat mereka terdorong di samping melancarkan pembacaan pada awal usia, serta mengembangkan pemikiran ke arah intelektual yang lebih berkesan," katanya.


Tag: