• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Rakyat Terjejas Sepanjang PKP 2.0 Terima Bantuan

KUALA TERENGGANU, 3 Februari – Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk menyumbang sebanyak 360 pek makanan untuk fasa pertama agihan bantuan kepada mereka yang terjejas pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) dijalankan. 

Program agihan sumbangan bantuan ini merupakan kerjasama antara PKM ADUN Batu Buruk dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Khidmat Malaysia Kuala Terengganu.

Khidmat Malaysia Kuala Terengganu telah mengambil inisiatif membuka Pusat Pengumpulan Barangan Sumbangan di hadapan Pejabat PKM ADUN Batu Buruk bermula 26 Januari lalu untuk memberi peluang kepada orang ramai bagi turut sama menghulurkan sumbangan.

“Fasa kedua agihan nanti, kita akan kumpulkan semua barang sumbangan dan pihak DUN akan cukupkan bilangan barang agihan tersebut menjadi 360 pek,” kata ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi. 

Beliau berkata ketika meninjau kerja-kerja agihan barangan sumbangan bagi fasa pertama kepada pihak Jawatankuasa Pembangunan Kampung dan Keselamatan (JPKK) dijalankan di Dewan Dato’ Wan Abdul Muttalib Embong, Kuala Ibai, semalam.

“Insya Allah, sekiranya ada rezeki lagi pada masa akan datang kita akan adakan lagi agihan ini.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua penyumbang yang turut sama-sama ingin membantu mereka yang terjejas pendapatan sepanjang PKP ini,” tambahnya lagi.

Pusat Pengumpulan Barangan Sumbangan masih lagi dibuka hingga 4 Februari (Khamis) ini.


Tag: