• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Rancangan Tempatan 2035 Rancakkan Pembangunan Setiu

SETIU, 12 September - Pelaksanaan Rancangan Tempatan Daerah Setiu 2035 (Penggantian) yang mengambil kira pandangan penduduk setempat bakal merancakkan pembangunan di daerah tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak berkata pihaknya menyambut baik inisiatif Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Malaysia (PlanMalaysia) dalam melaksanakan rancangan itu berpandukan potensi daerah itu sebagai pengeluar sumber makanan utama negeri.

Katanya, bagi membolehkan rancangan pembangunan di Setiu lebih mampan menjelang 2035, draf itu kini dipamerkan dari 11 September sehingga 11 Oktober ini bagi mendapat pandangan penduduk setempat.

“Tujuan utama Program Publisiti dan Penyertaan Awam diadakan adalah untuk memberi pemahaman dan peluang kepada semua pihak terutamanya penduduk daerah Setiu bagi menyemak, meneliti dan memberi maklumbalas ke atas kandungan laporan Draf Rancangan Tempatan Daerah Setiu 2035 (penggantian) yang telah disediakan sebelum ianya diwartakan.

“Susulan daripada pengisytiharan Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Utama Negeri Terengganu, Kajian Draf Rancangan Tempatan Daerah Setiu 2035 (penggantian) turut memberi keutamaan terhadap perkara ini.

“Respon orang awam sebenarnya agak positif contohnya seperti yang kita buat di Besut sebelum ini, dan diharapkan di Setiu juga ramai yang akan kehadapan untuk kemukakan cadangan membina,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Publisiti Dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Setiu 2035 (Penggantian) di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu, hari ini.

Kata Dr Alias, draf tersebut telah menyenaraikan 108 projek dan program yang berpotensi untuk dibangunkan dalam tiga fasa perancangan, dimana12 darinya merupakan projek berimpak tinggi.

“Bagi memastikan semua projek yang dirancang dapat dilaksanakan dan memenuhi kehendak rakyat, ianya memerlukan kolaborasi antara agensi negeri, persekutuan dan PBT mahupun orang awam.

“Rakyat kini lebih terbuka, peranan kita (kerajaan) adalah untuk memberi penjelasan kepada mereka, dan mereka (rakyat) akan terima sekiranya alasan tersebut munasabah, dan di pihak rakyat juga kita mengharapkan adanya tolak ansur kerana apa yang kita buat adalah untuk kepentingan awam,” ujarnya.