MARANG, 23 Mei- Perkampungan Darul Barakah yang diwujudkan oleh kerajaan Terengganu bagi memulihkan penagih dadah bakal menjadi perintis untuk dicontohi negeri lain dalam membendung permasalahan tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, perkara itu akan dibawa kepada pihak Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hamzah Zainuddin bagi memastikan ia dapat diwujudkan di tempat lain dengan konsep sukarela seperti itu.
"Ia boleh dijadikan sebagai 'pilot project' kerana kaedah dan rawatan yang dijalani oleh pelatih berterusan, ia tidak akan berakhir begitu sahaja setelah tamat latihan, sangat berbeza di pusat pemulihan dadah biasa, sebaik sahaja sampai tempoh masa ditetapkan maka akan kembali ke pangkuan masyarakat.
"Dikhuatiri mereka akan kembali terbabit dengan masalah berkenaan setelah bertemu semula dengan rakan-rakan yang berupaya mendorong mereka untuk kembali menjalani hidup seperti dahulu. Berbeza di sini mereka bukan hanya menjalani latihan bahkan akan terus menetap di sini dan boleh membawa keluarga bila telah lama berada di sini.
"Pelbagai kemahiran turut diajar, seperti terlibat dengan pertanian, penternakan, dan sebagainya di atas tanah seluas 300 hektar, jadi ini suatu idea yang sangat baik untuk diketengahkan kepada kerajaan persekutuan dan menjadi 'role model' yang menawarkan pemulihan secara holistik," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Rehlah Till Jannah Siri 1/2022 di sini, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah.
Dalam pada itu kata Idris, demi menjamin masa depan yang lebih baik untuk pelatih terlibat dalam usaha pertanian, beliau akan turut membawa perkara tersebut kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dr. Ronald Kiande.
"Supaya semua pelatih ini boleh terlibat dengan projek yang lebih besar dan akhirnya boleh menyumbang kepada pengeluaran makanan bagi menjamin 'food security' yang hangat dibincangkan oleh negara pada ketika ini, paling tidak mampu menampung keperluan dalam negeri ini,"ujarnya.