• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

KUALA TERENGGANU, 11 April - Isu raya awal seperti tahun lalu sedang menjadi perbincangan hangat dalam kalangan netizen pada hari ini kerana khuatir akan berlaku kekalutan sepertimana sambutan hari kebesaran umat Islam itu sebelum ini.

Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Prof. Madya Dr Baharrudin Zainal berkata, pengalaman tahun lalu telah menjadi faktor kenapa ia begitu rancak diperkatakan.

"Ramalan ini juga berlaku kerana ramai masyarakat pada hari ini memiliki kemahiran dan kecenderungan menggunakan perisian yang boleh menerbitkan maklumat melihat anak bulan syawal tanpa memadankannya dengan kaedah dan hukum syarak yang terpakai di negara kita.

"Perkara ini juga menjadi kecoh mungkin disebabkan mendapat maklumat bahawa satu kumpulan Islam terbesar di negara jiran (Indonesia) telah menetapkan tarikh hari raya pada Jumaat, kena ingat dalam kaedah ini negara kita tidak menggunakan 'hisab hakiki wujudul hilal'.

"Negara kita menggunakan kaedah hisab dan rukyah, kena faham perbezaan sistem hukum yang terpakai ataupun menepati kriteria astronomi yang digunakan di negara kita," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, hari ini.

Dalam pada itu katanya, perkara itu diperhangatkan lagi apabila Pusat Astronomi Antarabangsa yang berpengkalan di Emeriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan kemungkinan penghujung Ramadan adalah 20 April.

"Kita mengamalkan sunnah 'Imkanur Rukhyah', di mana negara lain yang menggunakan kaedah 'hisab hakiki' mereka mengumumkan awal perkara itu hanya daripada badan-badan astronomi bukan pihak berkuasa agama.

"Saya rasa masyarakat kena belajar banyak perkara bukan sahaja tahu untuk menggunakan perisian dan mendapat maklumat melalui internet tanpa mengetahui cara dan kaedah yang terpakai di ngeara kita.

"Kemungkinan berlaku raya awal di negara kita amat tipis sebab tidak ada dalam rekod anak bulan dijangkakan penampakannya sangat muda dan dijangka berada rendah di ufuk dua darjah lebih rendah daripada apa yang dapat dilihat pada tahun lepas,"ujarnya.

Terdahulu, 20 April telah ditetapkan sebagai tarkh melihat anak bulan membabitkan Bukit Besar (Kuala Terengganu), Batu Geliga (Kemaman), Pulau Perhentian (Besut), Balai cerap KUSZA, Mukim Merang (Setiu).


Tag: