• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Rekod Tanpa Kalah di Laman Sendiri ‘Lebur’

KUALA NERUS, 27 April - Terengganu Football Club (TFC) terpaksa menerima kekalahan pertama di laman sendiri menentang Sri Pahang FC 1-2 malam ini dalam Perlawanan Liga Super ke-10 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner kali ini mempertaruh tiga tonggak penyerang sebaris dalam kesebelasan utama; Jordan Mintah, Ivan Mamut dan Aadisak Kraisorn dalam misi mendapatkan gol awal.

TFC memulakan aksi dengan baik apabila Ivan Mamut berjaya melakukan ‘free header’ ke gawang gol lawan seawal minit ke-12 namun dinafikan penjaga Gol Sri Pahang, Izham Tarmizi.

Skuad The Turtle terus bertindak garang apabila beberapa siri percubaan tepat berjaya disasarkan namun masih buntu mendapatkan jaringan awal. 

Namun, pada minit ke-30 bekas penyerang TFC, Kpah Sherman terlebih dahulu meletakkan pasukannya di hadapan apabila berjaya meledak gol pertama buat Tok Gajah. 

Sembilan minit kemudian, usaha keras pasukan TFC menyusun strategi akhirnya membuahkan hasil apabila Ivan Mamut berjaya sempurnakan hantaran daripada penyerang utama Thailand, Aadisak Kraisorn bagi menyamakan kedudukan 1-1.

Separuh masa kedua bermula dengan kemasukan Sony Norde dan Syafiq Ismail, sekali gus menjadikan permainan TFC lebih rancak mendapatkan gol tambahan.

Terengganu FC ibarat serba tidak menjadi apabila banyak siri hantaran tidak disudahi dengan cetakan jaringan. 

Lebih malang buat TFC apabila Sri Pahang FC berjaya mendapatkan gol pendahuluan melalui Azam Azih yang merembat daripada luar kotak penalti pada minit ke-68. 
 

Perlawanan kekal 2-1 Sri Pahang FC mengatasi TFC walaupun beberapa taktikal serangan digerakkan namun gagal mendapatkan sebarang jaringan. 

TFC kini jatuh ke tangga kelapan selepas kalah di laman sendiri dan bakal bertandang ke bumi Borneo menentang Sabah FC 19 Mei nanti.


Tag: