• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Remaja Perempuan Ditemui Dibunuh Dengan Pergelangan Tangan Terputus

HULU TERENGGANU, 1 November - Seorang remaja perempuan ditemui mati dibunuh dalam satu kejadian samun di rumahnya di Kampung Lubuk Batu, Kuala Telemong, hari ini.

Dalam kejadian malang itu, mangsa, Siti Nor Surya Ismail, 19, ditemui tertiarap di ruang tamu dengan  pergelangan tangan kirinya putus dan juga tetakan di bahagian muka, belakang leher dan dada.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Assisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar ketika ditemui mengesahkan kejadian itu.

"Kejadian dipercayai berlaku pada jam 9 pagi berdasarkan siasatan awal polis.

"Pihak polis menerima  panggilan pada jam 3 petang dan menghantar pasukan ke lokasi kejadian.

"Berdasarkan siasatan awal, suspek seorang yang berkemungkinan dikenali mangsa dan keluarga, pihak polis kini sedang giat memburu dan mengesan suspek," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi.

Menurut Mohd. Marzukhi, barangan milik mangsa termasuk wang bernilai ratusan ringgit di samping dua telefon bimbit dan bag turut lesap berkemungkinan dirompak. 

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Zahirah untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, ayah mangsa , Ismail Muda, 58, ketika ditemui berkata, kejadian itu disedari anak bongsunya ketika pulang dari sekolah apabila mendapati kakaknya berlumuran darah.

"Biasa arwah yang pergi ambil adiknya kat sekolah tetapi tengahari ni bila tak sampai, adiknya pulang dengan berjalan kaki ke rumah.

"Anak saya terus telefon bila tengok keadaan mangsa sebaik sampai ke rumah dan beritahu pergelangan tangan mangsa putus serta berlumuran darah,"katanya.

Tambah Ismail, ketika kejadian dia tiada dirumah dan mangsa sedang menjaga ibunya yang terlantar lumpuh akibat kanser otak. 


Tag: