• 02 Ogos 2021 | 23 Zulhijah 1442

Rentas Negeri, Kluster Bukit Bayas Rekod 48 Positif

Ehsan Gambar : NSTP

KUALA TERENGGANU , 12 Mac - Kluster Bukit Bayas kini merekodkan 48 kes positif, 954 kontak rapat akibat rentas negeri sejak ia di daftarkan 8 Mac lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata,  kluster itu membabitkan lima daerah iaitu Kuala Terengganu, Dungun, Hulu Terengganu, Kuala Nerus dan Marang.

Katanya, usaha untuk membendung penularan secara besar-besaran akan terus dilakukan bagi mengelak kadar kes melonjak dengan cepat sekaligus mengambil masa lama untuk reda. 

"Kes ini berpunca daripada kontak rapat keluarga akhirnya menjangkiti kontak rapat tempat kerja dan menjangkiti kontak rapat sosial. Rakan riadah (joging) dan bermain golf pun djangkiti. 

"Selagi mampu kami akan terus melakukan aktiviti 'containment' (membendung).Kami  tak mahu ia menjadi seperti Kluster Kebor Air yang mengambil masa yang lama untuk surut," katanya menerusi kenyataan di laman Facebooknya, pada Jumaat. 

Kluster Bukit Bayas direkodkan sejak 8 Mac lalu dimana merupakan kluster komuniti melibatkan daerah Kuala Terengganu di Terengganu, Johor Bahru (Johor) dan Petaling (Selangor).

Kes indeks bagi kluster ini ialah Kes 3223 yang merupakan seorang wanita warganegara Malaysia berusia 28 tahun dilaporkan positif Covid-19 pada 3 Mac 2021 hasil saringan individu bergejala.

"Kluster Bayas berpunca dari aktiviti rentas negeri. Ini antara alasan kenapa kami keberatan untuk membenarkan rentas negeri buat masa ini kerana kesannya cukup terasa kepada petugas kesihatan yang telah bertungkus lumus sejak setahun yang lalu.

"Setiap kali kluster baru muncul setiap kali itu petugas kesihatan berhempas pulas mengesan kes dan memberi rawatan," katanya.

Sehingga Jumaat, Jabatan Kesihatan Terengganu telah merekodkan pertambahan 10 kes sembuh dan empat kes baharu Covid-19 menjadikan terdapat 128 kes Covid-19 aktif di negeri ini dengan jumlah keseluruhan sebanyak 3,342 kes. 

Sebanyak 126 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa, dua kes menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dimana satu daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.


Tag: