• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Restoran Konsep Kapal Terbang Bakal Dibina


Gerbang Galeri Pelancongan yang terletak di Jalan Lapangan Terbang, Kuala Nerus bakal diberi nafas baru bagi menarik lebih ramai pengunjung dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif  Abd Rahman berkata, pihak kerajaan negeri sedang merancang untuk menambah baik Gerbang Galeri Pelancongan sedia ada untuk dijadikan restoran berkonsepkan kapal terbang.

Katanya, anak syarikat Kerajaan Negeri, T-Kitchen akan ditempatkan di bahagian bawah kawasan itu bagi mengetengahkan produk makanan tradisional Terengganu.

"Kita akan lakukan pengubahsuaian di bahagian bawah dan akan wujudkan suasana seperti di dalam kapal terbang.

"Jadi sesiapa yang makan di T-Kitchen itu nanti akan terasa seperti berada di dalam kapal terbang selain turut mewujudkan pandu lalu di restoran tersebut," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Bagi Pelaksanaan Projek Jalan Dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud Ke Kuala Terengganu City Centre (KTCC) di Seberang Takir, Kuala Nerus, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Dato’ Seri Jebasingam Issace John.

Dalam masa yang sama, Ahmad Razif berkata, Kerajaan negeri telah menerima cadangan dari syarikat penerbangan tambang rendah terbesar di Asia, Air Asia untuk menambah penerbangan terus dari Johor Bahru ke Kuala Terengganu

Katanya, buat masa sekarang penerbangan tersebut hanya tiga kali seminggu dan Air Asia bercadang ditambah kepada enam kali seminggu.

Tag: