• 15 Okt 2024 | 12 Rabiul Akhir 1446

Retorik Reformasi Hakis Kepercayaan Rakyat, Ancam Institusi Negara

KUALA LUMPUR, 27 September - Sikap retorik dalam usaha untuk mereformasi institusi persekutuan termasuk badan kehakiman bakal menghakis kepercayaan rakyat sekali gus mengancam negara.

Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Malaysia dibina atas prinsip demokrasi, keadilan dan perpaduan.

Katanya, badan kehakiman, Parlimen, perkhidmatan awam, atau badan pengawal selia adalah penjaga prinsip-prinsip tersebut.

"Parti politik mungkin berubah setiap lima tahun, tetapi struktur pentadbiran dan asas demokrasi kita harus kukuh, dan perlu tetap utuh atau terhindar dari intimidasi politik (atau ancaman) yang berpunca daripada alasan tidak berasas.

"Badan kehakiman kita mesti memastikan keadilan ditegakkan, bebas daripada campur tangan politik atau berat sebelah," katanya pada ucaptama Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-14 dan Kutipan Dana IDEAS di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kemaman itu mengakui cabaran yang ada ketika ini sangat mengancam integriti institusi negara terbabit.

Jelasnya, terdapat isu rasuah, campur tangan politik malah lebih teruk wujud tekanan, paksaan dan fasisme yang mengundang pandangan serong orang awam.

"Cabaran ini sekali gus boleh merosakkan keberkesanan dan kebebasan badan-badan negara kita.

"Ancaman ini boleh memberi kesan jangka panjang, melemahkan sistem yang direka untuk melindungi hak dan kebebasan kita, serta semua institusi, hasilnya ia akan menjauhkan pelabur dari negara kita.

"Rasuah, contohnya, bukan sahaja mengurangkan sumber kita tetapi juga merosakkan kepercayaan awam terhadap tadbir urus.

"Campur tangan politik, apabila keputusan dibuat berdasarkan motivasi politik dan bukannya undang-undang maka rakyat akan menderita, akhirnya demokrasi kita akan goyah," jelas beliau.

Justeru tegasnya, usaha melindungi dan mengukuhkan ketahanan institusi negara perlu digarap secara serius termasuk daripada bebas daripada penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

"Ketelusan dan tanggungjawab mesti menjadi teras kepada proses institusi kita.

"Kedua, kebebasan badan kehakiman kita mesti dipelihara walau dengan apa cara sekali pun. Badan kehakiman yang kukuh dan tidak berat sebelah adalah kritikal untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan memastikan bahawa semua rakyat Malaysia diperlakukan dengan adil, tanpa mengira latar belakang atau kedudukan mereka.

"Ketiga, kita mesti melabur dalam pembangunan kapasiti dalam perkhidmatan awam. Perkhidmatan awam yang profesional, kompeten, dan tidak berpihak adalah penting untuk kelancaran fungsi kerajaan kita tanpa mengira siapa yang memerintah setiap lima tahun," tambah beliau.


Tag: