• 21 Feb 2024 | 11 Syaban 1445

Rewcastle-Brown Dipenjara 2 Tahun Fitnah Sultanah Terengganu

KUALA TERENGGANU, 7 Februari - Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, dijatuhi hukuman penjara dua tahun di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memfitnah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Keputusan itu dibuat Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri selepas Rewcastle-Brown, 65, didapati bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Nik Mohd Tarmizie kemudian memerintahkan hukuman penjara bermula daripada tarikh sabitan iaitu hari ini.

Mahkamah sebelum ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Rewcastle-Brown kerana gagal menghadirkan diri untuk dituduh berkaitan kes berkenaan.

Perbicaraan kes dijalankan secara 'in absentia' (tanpa kehadiran) dibawah Seksyen 425A Kanun Tatacara Jenayah.

Rewcastle-Brown berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah melalui buku The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose.

Sultanah Nur Zahirah sebelum ini memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown berhubung fitnah dalam buku berkenaan dan menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta.

Sultanah Nur Zahirah yang memfailkan saman pada 21 November 2018 mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud baginda terbabit dalam amalan rasuah serta mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri Terengganu.

Kenyataan itu juga mengatakan baginda menggunakan status untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sultanah Nur Zahirah juga mendakwa kenyataan itu membawa maksud Baginda membantu ahli perniagaan dalam buruan Jho Low atau Low Taek Jho menjadi penasihat TIA.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah, Mohd Khairuddin Idris dan Nur Amalina Najwa Mohd Ali.

Sebelum ini, Rewcastle-Brown yang berasal dari United Kingdom didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu secara tanpa kehadiran tertuduh pada 23 September 2021.

Bagaimanapun, Rewcastle-Brown membuat pemohonan untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, K Muniandy pada 21 Jun 2023 menolak permohonan Rewcastle-Brown untuk memindahkan kes berkenaan dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Muniandy memerintahkan supaya kes itu kekal dibicarakan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu dan kes itu sepatutnya diteruskan ke perbicaraan tanpa sebarang halangan lagimemandangkan tarikh pertuduhan sudah lama iaitu pada 23 September 2021. - Berita Harian.


Tag: