• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

KEMAMAN, 13 April - Seramai 85 peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Dewan Undangan Negeri Kawasan Air Putih kini tersenyum lebar setelah menerima suratan hak milik.

Jumlah tersebut melibatkan seramai 22 penerima dari RTB (lot tapak rumah) Kampung Ban Ho Cherul, 43 penerima RTB (lot tapak rumah) Kampung Lot Sri Jaya dan 20 penerima RTB Paloh Jenang Terkilan (lot pertanian).

Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Air Putih, Ab.Razak Ibrahim, memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi kerana diberikan kesempatan untuk menunaikan hak rakyat di kawasannya dengan kerja keras daripada semua pihak terutama kakitangan Pejabat Tanah Daerah Kemaman.

"Alhamdulillah di kesempatan ini kita diberikan ruang untuk menunaikan janji kerajaan dengan mengembalikan semula tanah RTB suatu ketika dulu yang belum selesai.

"Dengan komitmen yang tinggi daripada pegawai dan kakitangan Pejabat Tanah Kemaman membolehkan majlis serahan hak milik RTB tersebut dapat disempurnakan pada hari ini.

"Saya sebagai wakil rakyat DUN Air Putih mengucapkan ribuan terima kasih, syabas dan tahniah kepada semua," katanya.

Dalam waktu yang sama, Pegawai Daerah Kemaman, Mohd Sophian Abu Bakar yang turut berucap di majlis tersebut mengingatkan kepada penerima hak milik tanah RTB hari ini supaya tidak menjual tanah yang diterima mereka. 

"Saya mengharapkan agar tanah yang dikurniakan oleh kerajaan ini hendaklah didirikan rumah dan jangan dijual," katanya.