Rezeki Tahun Baru Diami Rumah Sendiri
DUNGUN,4 Januari- Kedatangan tahun 2024 yang baru melepasi beberapa hari pastinya menjadi detik yang paling bermakna buat lima beranak dari Kampung Gong Pasir, di sini apabila menerima rumah baharu.
Saupi Alias,36, berkata, dia sangat terharu kerana hasrat untuk mendiami rumah sendiri akhirnya tercapai pada awal tahun ini menerusi Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) yang diperkenal kerajaan negeri.
“Alhamdulillah, rasa syukur sangat dan saya ucap ribuan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli dan Alias Harun yang merupakan mantan ADUN kawasan ini yang telah berusaha untuk mendapatkan rumah ini buat keluarga kecil kami.
“Sekian lama saya nantikan rumah ini kerana sebelum ini hanya menumpang di rumah mertua yang juga tinggal di sekitar sini,” ujarnya.
Bapa kepada tiga anak itu berkata demikian ketika ditemui pemberita di Majlis Penyerahan Kunci Rumah PPTS DUN Rantau Abang yang disempurnakan oleh ADUN Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli di Kampung Gong Pasir, semalam.
Tambah Saupi, pemberian itu juga mengembirakan anak-anaknya yang masih bersekolah dan semestinya memerlukan kepada kediaman yang selesa.
“Selepas ini mereka dapat belajar dan berehat dengan selesa berbanding sebelum ini, terima kasih kepada kerajaan,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd Fadhli Rahmi berkata, kerajaan negeri sentiasa komited untuk melihat rakyat Terengganu memiliki kediaman sendiri agar kehidupan mereka lebih kondusif dan selesa.
“Kerajaan negeri sentiasa komited menyediakan rumah kepada rakyat Terengganu yang kurang berkemampuan dan memenuhi syarat yang telah ditetapkan,” ujarnya.