• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Rezeki Terima Rumah Selepas 18 Tahun Menyewa

Oleh : Aslam Wira

MARANG, 18 Julai - Asri Yahya, 42, mengucapkan rasa syukur setelah menerima bantuan bina rumah baharu dalam Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) semalam.

Asri yang berniaga gerai makan di Kampung Sentul Patah hanya mampu menyewa rumah sejak 18 tahun lalu.

Lebih mendukacitakan dia juga terpaksa menyara isterinya yang mengidap penyakit thyroid dan tiga orang anak yang masih kecil.

Namun, segala-galanya berubah apabila Asri antara mereka yang terpilih untuk memiliki rumah setelah melepasi syarat-syarat tertentu.

Menurut Asri, permohonan rumah yang diterima itu adalah kali keenam selepas memohon bantuan rumah daripada RISDA, Rumah Mesra Rakyat dan Perumahan Kos Rendah sebelum ini.

"Saya bersyukur, dengan lulusnya permohonan ini, kami sekeluarga tidak perlu menyewa dan boleh difokuskan kepada kos pembelajaan anak yang bakal melanjutkan pelajaran nanti," katanya kepada pemberita di rumahnya di sini.

Asri Yahya.

Dalam pada itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, bantuan itu merupakan bantuan di bawah KPLB dengan kerjasama Pejabat ADUN Rhu Rendang, Pejabat Daerah Marang dan Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu melalui pemerhatian pihak e-Kasih.

"Dengan bantuan ini, isi rumah ini terkeluar daripada senarai pemantauan berkala yang dikhaskan kepada golongan yang memerlukan.

"Selama dua tahun kita berkerjasama dengan jabatan dan agensi, bagi menurunkan paras atau tahap kemiskinan dan miskin tegar di DUN Rhu Rendang.

"Tambahan lagi, ini merupakan hasrat Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang," tambah beliau.


Tag: