• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

'Rigger Scaffolder' KKYT Penuhi Pasaran Industri Minyak, Gas

DUNGUN 10 Januari - Kolej Kemahiran Yayasan Terengganu (KKYT) berjaya melahirkan 40 pelatih ringger scaffolder berkemahiran tinggi bagi memenuhi pasaran kerja tempatan dan luar negeri.

Kursus itu adalah projek perintis bagi kolej kemahiran itu yang ditubuhkan akhir 2019 lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri, Mohd Nurkhuzaini  Abd Rahman berkata, jumlah pelatih itu dilihat agak kecil tetapi ia cukup besar maknanya kerana semua pelatih yang tamat latihan berjaya mendapat pekerjaan.

Katanya, sebahagian besarnya mendapat penempatan kerja dalam industri minyak dan gas di Paka, Dungun, Terengganu dan ada juga di Lumut, Perak.

"Kerajaan akan terus memperkasakan kursus  seumpama itu melalui KKYT kerana dilihat mampu memenuhi keperluan industri.

"Pada masa yang sama mampu mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga asing dan secara beransur-ansur mengecilkan angka kadar pengangguran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas Majlis Perasmian Kursus  Ringger Scaffolder di Paka, di sini hari ini.

Mohd Nurkhuzaini turut memberitahu, pihaknya berharap KKYT akan terus memperluaskan rangkaian kerjasama dengan pemain-pemain industri tempatan dan juga luar negara.

"Langkah itu pastinya dapat meneroka lebih banyak peluang kerjaya untuk diserapkan kepada anak jati Terengganu," katanya.

Untuk rekod, kerajaan negeri membelanjakan RM520,000 atau RM13,000 bagi setiap peserta yang mengikuti kursus kemahiran itu selama enam bulan.

Setiap peserta diberi elaun RM150 sebulan dan dijanjikan peluang kerja.


Tag: