• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

MARANG, 29 Oktober - “Setiap hari selepas bangun tidur, saya harap sangat dia sebut perkataan ibu dan ayah seperti sebelum ini," kata Suria Aziela Mansor, 34, ibu kepada Mohammad Haris Mohd Hisyam, 13, yang lumpuh seluruh badan.

Keadaan Haris yang lumpuh seluruh badan menyebabkannya tidak mampu bercakap dipercayai berpunca daripada jangkitan kuman dalam darah dihidapinya tiga tahun lalu.

"Anak sulung saya adalah seorang anak yang aktif dan ceria sejak kecil namun selepas menjalani tiga kali pembedahan pada tahun 2018, dia terus lumpuh dan sejak itu hanya terlantar di katil.

"Ibu mana yang tak sedih apabila melihat anak kesayangan jadi begitu, redha dengan ketentuan tapi sungguh saya rindu nak dengar suara dia panggil ibu macam biasa dan mengharapkan ada keajaiban pada satu hari nanti," ujarnya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Kijing, di sini hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah meluangkan masa menziarahi Muhammad Haris di samping menyampaikan sumbangan.

Ibu kepada tiga anak itu berkata semasa Muhammad Haris sihat, mereka sekeluarga menetap di kuaters Felcra di Besut kerana suaminya, Mohd Hisham Hussin, 36 bekerja di situ.

"Selepas kesihatan Muhammad Haris semakin merosot pada pertengahan 2018 akibat jangkitan kuman dalam darah, kami sekeluarga berpindah menumpang ke rumah ibu saya di Kampung Kijing kerana lebih mudah untuk menyelesaikan pelbagai urusan berkaitan," katanya lagi.

Dalam masa yang sama, dia mengucapkan rasa syukur kerana terdapat perubahan positif apabila anaknya itu menunjukkan reaksi terhadap kesakitan.

Suria Aziela berkata kos  perbelanjaan bulanan Muhammad Haris mencecah lebih RM2,000 termasuk kos ambulans untuk rawatan susulan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah.

"Namun kami rasa bersyukur kerana beban yang kami tanggung agak berkurangan kerana mendapat bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM).

"Kami diberi bekalan susu dan lampin pakai buang dari Maidam serta wang tunai bulanan RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.