• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

RM118,100 Untuk Bantu Pengusaha Pelancongan Tasik Kenyir

HULU TERENGGANU, 27 Jun - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) memperuntukkan RM118,100 untuk membantu pengusaha pelancongan di Tasik Kenyir yang terjejas susulan penularan pandemik COVID-19. 

Pengerusinya, Dato' Razali Idris berkata bantuan insentif kewangan 'one off' itu diberikan kepada 277 pengusaha rumah bot serta bot laju dan pengusaha kedai di pusat pelancongan itu.

"Bagi pengusaha yang telah berkahwin, mereka akan menerima RM500 manakala yang bujang pula sebanyak RM300.

"Insentif ini merupakan  yang bertujuan meringankan beban para penggiat pelancongan yang terjejas pendapatan ekoran PKP bagi mengekang penularan pandemik COVID-19,"ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penyampaian intensif berkenaan kepada wakil persatuan di Pusat Penerangan Tasik Kenyir, hari ini.

Tambahnya, bantuan tersebut yang merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat KETENGAH adalah kesinambungan bantuan pada PKP tahun lepas.
 
"Pada fasa pertama terdahulu iaitu PKP 1.0 pada  21 Jun 2020, KETENGAH telah menyalurkan sejumlah RM152,700 kepada 86 orang pengusaha rumah bot bagi memulihkan sektor pelancongan yang terjejas teruk," ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, Razali turut memohon pertimbangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya sektor pelancongan di Terengganu beroperasi kembali.

"Ia bagi memperkasakan semula sektor pelancongan domestik yang terjejas sejak pelaksanaan PKP 3.0.

"Ini berdasarkan jumlah kes di negeri ini sehingga kini kekal dua digit sejak kebelakangan ini dan paras itu adalah antara tanda yang menyakinkan bahawa kita semakin pulih.

"Lagipun semua pengusaha industri pelancongan terutama di Tasik Kenyir bersedia beroperasi mengikut syarat ketat dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," jelas beliau.