RM1.5 Juta Dibelanja Naik Taraf, Infrastruktur Sawah

KEMAMAN, 11 Mei – Lebih RM1.5 juta telah dibelanjakan oleh Kerajaan Terengganu sejak 2019 bagi menaik taraf sistem pengairan dan infrastruktur pertanian di Paya Dadong dan Paya Paman, namun hakikatnya, jika tiada beras, tiada siapa dapat menjamah nasi, walaupun wang berbillion di tangan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, keseluruhan jumlah tersebut merangkumi peruntukan dari kerajaan negeri, persekutuan dan pelbagai sumber lain bagi membina pagar, jalan ladang serta sistem pengairan moden.

"Kalau dicampur, sebanyak RM1.576 juta telah kita salurkan di Paya Dadong dalam tempoh enam tahun, dan kalau dibahagi kepada 19 orang peserta, akan jadi RM82 ribu seorang.

"Baik kita bahagi duit, tak payah tanam padi, tapi kalau tiada beras, macam mana kita nak makan nasi?,” katanya, sebagai sindiran kepada pandangan yang menganggap pertanian sebagai beban perbelanjaan.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Ramah Mesra dan Dialog Kelompok Tani & Pesawah Padi, di Rumah Tani Kampung Dadong, di sini hari ini.

Turut hadir, ADUN Air Putih, Mohd Hafiz Adam; Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Dr. Sukati Sakka; dan Pegawai Daerah Kemaman, Ahmad Nazwawi Harun.

Menurut beliau, peruntukan tambahan sebanyak RM500 ribu turut disalurkan di kawasan Paya Paman yang hanya mempunyai enam peserta, menjadikan peruntukan per individu lebih tinggi, namun prinsip kerajaan tetap sama, galakkan kerja, bukan beri tunai.

"Kalau kita bahagi kepada enam peserta, setiap orang akan dapat RM83 ribu, tapi kita tak buat begitu sebab kita nak tuan puan terus berusaha," katanya.

Dr. Azman turut mendedahkan pengalaman peribadinya sewaktu mula menjadi Exco pada tahun 2018, apabila didatangi seorang penasihat kanan kepada pemimpin negara mempersoalkan keutamaan kerajaan negeri dalam sektor penanaman padi.

"Dia kata petani tetap miskin, lebih baik beli saja beras dari luar, tak perlu subsidi, tak perlu tali air, tak perlu buat empangan dan jalan ladang," katanya memetik perbualan tersebut.

Namun katanya, realiti dunia menunjukkan bahawa wang semata-mata tidak mampu menyelamatkan negara ketika krisis makanan, apatah lagi jika negara pengeluar menutup pintu eksport.

"Saya kata, kita boleh beli kalau ada orang nak jual, tapi kalau sampai masa kita ada duit tapi tiada siapa nak jual, kita boleh beli tak?" katanya tegas.

Beliau menegaskan, negara seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam sendiri pernah menyekat eksport beras sehingga keperluan domestik mereka mencukupi.

"Polisi mana-mana negara mesti mencukupkan makanan untuk rakyat dulu sebelum dibenar eksport," jelasnya.

Azman menyimpulkan bahawa dalam krisis sebenar, kekayaan bukan lagi pada wang, tetapi pada makanan yang cukup untuk rakyat.

"Orang bijak pernah kata, ketika krisis makanan, orang paling kaya ialah orang yang ada makanan," ujarnya.