• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

RM1.65 Juta Dana PUTERA Suntik Modal Segera Usahawan Terengganu

KUALA LUMPUR, 10 Mac- Sebagaimana telah dilaksanakan tahun lalu, kerajaan Terengganu melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) mengumumkan untuk mengekalkan inisiatif Dana PUTERA bagi membantu usahawan-usahawan di negeri berkenaan dengan nilai keseluruhan peruntukan sebanyak RM1.65 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman memaklumkan, bagi tahun 2023 suntikan dana sebanyak RM50,000 dikekalkan kepada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk khusus buat ADUN Wanita.

"Ini adalah satu peruntukan kerajaan berbentuk geran kepada DUN untuk diberikan kepada usahawan yang layak pada kadar RM500 hingga RM1,000 seorang.

"Saya umpamakan sebagai buah tangan, itu kerana ketika wakil rakyat turun ke kawasan mereka, mereka dapat memberikan bantuan segera kepada usahawan-usahawan kecil yang memerlukan.

"Kita akan mulakan pada hari ini sehingga 15 April bagi setiap DUN mendapatkan maklumat usahawan-usahawan di kawasan yang layak dibantu.

"Jadi, hari ini kita memanggil wakil setiap DUN untuk menyampaikan maklumat berkenaan agihan dana tersebut" katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Taklimat Dana Putera di sebuah hotel di sini, hari ini.

Turut hadir ialah timbalannya yang juga ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik

Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Mohd Rashdan Muda, ADUN Rantau Abang, Alias Harun serta ADUN Wanita, Zuraida Md Noor.

Menurut Mohd Nurkhuzaini, beberapa penambahbaikan turut dibuat bagi melancarkan proses agihan dana berkenaan.

"Antaranya kita tidak lagi tetapkan pada kadar siling RM1,000 seorang, sekiranya diperlukan had maksimum boleh dinaikkan sehingga RM1,500 bagi bantuan peralatan.

"Sebelum ini, kita wajibkan calon ada pendaftaran SSM(Suruhanjaya Syarikat Malaysia), tetapi tahun ini jika tiada SSM mereka boleh dapatkan pengesahan daripada ADUN atau penyelaras kawasan masing-masing.

"Perniagaan juga kita tidak hadkan kepada sepenuh masa, sebaliknya bagi yang melakukan perniagaan separuh masa juga layak memohon," jelasnya.

Bagaimanapun beliau memaklumkan bahawa pemberian dana PUTERA hanya terhad kepada satu penerima untuk satu isi rumah.

Selain itu, penerima bagi tahun 2022, tidak layak memohon.

Dana PUTERA akan ditutup pada 15 April ini bagi memudahkan semakan oleh pihak YPU.

"15 hingga 30 April adalah tempoh YPU turun membuat semakan dan kita jangkakan seawal Mei, kita dapat salurkan dana kepada DUN-DUN untuk diagihkan.

"Kita harap setiap DUN dapat aktifkan jentera untuk mendapatkan maklumat usahawan-usahawan pada kadar segera," katanya.


Tag: