• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

RM242.97 Juta Diperuntukkan Bagi Projek Pemuliharaan Muara Sungai Dungun

DUNGUN, 22 September - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM242.97 juta bagi Projek Pemuliharaan Sungai Dungun untuk menangani masalah pemendapan, kesukaran pelayaran dan banjir di muara sungai tersebut.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pelaksanaan projek pemuliharaan muara itu akan bermula pada 26 September 2022 dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 54 bulan iaitu pada 25 Mac 2027.

Katanya, ia melibatkan kerja pengorekan alur navigasi, pembinaan struktur pemecah ombak, pembinaan struktur dinding penahan lapis lindung pantai, pembinaan groin dan pembinaan lampu tanda arah suar.

"Projek ini menjadi keutamaan pihak kami kerana melibatkan lebih seribu nelayan dan kawasan industri pelancongan negara.

"Apabila siapnya projek pemuliharaan tersebut, ia akan mengurangkan kesan banjir di kawasan yang sering berlaku bencana itu, memudahkan pergerakan keluar masuk nelayan dan pihak kami juga akan mengekalkan pantai yang sedia ada.Ini semua akan memanfaatkan hampir 5,000 penduduk tempatan," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Dungun, di Dewan Sivik Bijangga, Kuala Dungun, di sini hari ini.

Menurutnya, sebelum ini, muara Sungai Dungun dikatakan tidak selamat untuk navigasi bot nelayan dan bot pelancongan ke Pulau Tenggol terutama semasa musim Monsun Timur Laut apabila angin kencang dan gelombang kuat menyebabkan kerosakan bot dan risiko kehilangan nyawa.

Selain itu, pemendapan di muara sungai turut mengurangkan keupayaan sungai untuk mengalirkan air ke laut dan mengakibatkan banjir.

Tuan Ibrahim juga berkata, sebanyak  21 projek telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan kos keseluruhan berjumlah RM1.55 bilion di Terengganu.

“Projek ini merangkumi kerja-kerja mengawal hakisan pantai, memulihara muara sungai, membangun lembangan sungai bersepadu dan menebat banjir,”ujarnya.

Tambahnya lagi, KASA juga telah memohon 20 lagi projek tambahan baharu di bawah Rolling Plan Ketiga (2023) RMKe-12 bagi seluruh negeri Terengganu.