• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

RM328 Ribu Bantuan Mangsa Banjir DUN Cukai Diperuntukkan

KEMAMAN, 18 Januari - Sejumlah lebih RM328,300 diperuntukkan bagi menyediakan bantuan berbentuk beras dan barangan dapur untuk kira-kira 3,283 Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan hampir 15,000 mangsa banjir yang terjejas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat berkata, proses pengagihan bantuan untuk setiap KIR bernilai RM100 itu telah bermula sejak beberapa hari yang lalu.

"Kami mengagihkan bantuan tersebut kepada 14 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di DUN ini yang terlibat dengan banjir.

"JPKK masing-masing akan memainkan peranan mengagihkan kepada mereka mengikut bilangan KIR yang telah direkodkan setakat ini. Insya-Allah, semua mangsa banjir di DUN ini akan mendapat bantuan ini," jelasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada sukarelawan Khidmat Malaysia, badan bukan kerajaan (NGO) serta semua pihak yang telah membantu melancarkan misi agihan bantuan tersebut dan sebagainya.

"Mereka semua tidak mengira peringkat umur dan latar belakang telah sama-sama mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit bagi turut sama menjayakan misi ini.

"Mereka telah bekerja siang dan malam bagi memastikan segala bentuk bantuan ini akan sampai dan diterima dengan sebaiknya kepada mereka yang memerlukan," ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam.

 


Tag: