• 14 Okt 2024 | 11 Rabiul Akhir 1446

RM40,000 Atasi Masalah Parkir Bot di Jeti Marang

MARANG, 27 Jun – Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM40,000 bagi menangani masalah parkir bot ketika air surut di kawasan Jeti Utama Marang. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, peruntukan itu bertujuan untuk mendalamkan kawasan jeti dan membuang sisa-sisa kontraktor lama, supaya keadaan jeti kembali seperti asal dan dapat digunakan dengan selamat oleh para pengusaha bot dan pelancong.

“Kita telah bersetuju untuk menggunakan sumbangan sebanyak RM40,000 bagi mendalamkan kawasan jeti di Jeti Utama Marang. 

“Usaha ini melibatkan pembersihan sisa-sisa kontraktor lama untuk memastikan kawasan jeti boleh digunakan seperti sediakala dan dapat menampung parkir bot dengan lebih baik,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media Lawatan Kerja Exco Pelancongan dan Sesi Perbincangan Bersama Penggiat Pelancongan Terengganu bertempat di Pulau Kapas di sini hari ini.

Tambah Razali, Inisiatif itu diambil setelah pihak kerajaan negeri menerima aduan daripada pengusaha bot mengenai kesukaran untuk memarkir bot ketika air surut. 

“Dengan langkah ini, diharapkan masalah tersebut dapat diselesaikan dan para pelancong serta pengusaha bot dapat menikmati kemudahan yang lebih baik serta lebih selamat.

“Usaha ini dijangka dapat meningkatkan lagi kemudahan serta keselamatan bagi para pengusaha bot dan pelancong yang berkunjung ke destinasi popular tersebut,"ujarnya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha dan Peniaga Pulau Kapas dan Pulau Gemia Marang, Zakaria Sulong, turut menyambut baik langkah berkenaan.

Menurutnya, semasa air surut, bot terpaksa diikat di floating jeti kerana bot tidak boleh disimpan di tempat yang sepatutnya.

“Masalah ini menyebabkan kesulitan kepada pengusaha bot, terutama ketika waktu puncak pelancong.

"Dengan usaha mendalamkan jeti ini, diharapkan masalah tersebut dapat diselesaikan dan memudahkan urusan pengusaha bot,” katanya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: