• 08 Nov 2024 | 06 Jamadil Awal 1446

RM51,600 Untuk Pengayuh Beca, Pemandu Bot Penambang

KUALA TERENGGANU, 8 Januari- Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) memperuntukan sebanyak RM51,600 kepada 43 pengayuh beca dan pemandu bot penambang di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata, program dibawah insentif ejen promosi pelancongan beca dan bot penambang itu membolehkan setiap individu yang layak menerima RM1,200 seorang.

Katanya, sebanyak RM10,750 turut diperuntukkan untuk penambahbaikan wajah baharu beca dan bot penambang dengan elemen lebih moden dan pelbagai paparan mengenai produk pelancongan.

“Pemuliharaan dan pemerkasaan kepada warisan negeri perlu diberikan perhatian dan digiatkan oleh pelbagai pihak kerana beca dan bot penambang adalah nadi (pengangkutan utama masyarakat dahulu).

“Penggiat yang terdiri daripada pembawa beca dan bot penambang bertindak sebagai salah satu agen promosi pelancongan secara langsung,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kalendar 2023 Pelancongan Dan Kebudayaan Negeri Terengganu (CEO 2023), di Hotel Paya Bunga, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah JPNT, Fadli Yusof Zakaria.

Salah seorang penerima insentif tersebut, Zahid Ismail, 74, dari Kampung Wakaf Beruas berkata, dengan bantuan RM1,200 itu memberikan sedikit kelegaan kepadanya untuk menampung perbelanjaan seharian memandangkan kesukaran mendapat penumpang ketika ini.

“Pak cik bawa beca nie hampir 40 tahun, sekarang ini tidak ramai yang mahu naik beca, kadang balik dengan tangan kosong, kadang ada la juga pelancong yang naik, semuanya bergantung atas rezeki.

“Sebenarnya anak-anak tidak bagi dah pak cik bawa beca, tapi disebabkan minat dan bosan duduk di rumah pak cik bawa (beca) juga,” katanya.

Sementara itu, Razali Abd Ghani, 73, memberitahu pendapatannya sebagai pengusaha bot penambang banyak bergantung kepada pelancong luar.

“Biasanya, musim cuti sekolah ramai yang naik bot penambang, kalau tak hanya bergantung kepada penduduk tempatan, itupun tidak ramai yang gunakan perkhidmatan kami,” ujarnya.

Katanya, ketika ini seramai 17 pengusaha bot penambang yang masih aktif dan hanya mengenakan bayaran tiket serendah RM2 untuk sehala.