• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

RM7.5 Juta Diluluskan Untuk Kerja Pemuliharaan Sungai Atasi Risiko Banjir

KUALA TERENGGANU, 14 Mac- Kerajaan telah meluluskan sebanyak RM7.5 juta untuk kerja-kerja pemuliharaan sungai bagi mengatasi risiko banjir untuk Negeri Terengganu tahun ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, daripada peruntukan tersebut, RM4.8 juta kerja akan dilaksanakan secara undian yang melibatkan 103 kerja di semua lapan daerah yang melibatkan kerja di bawah RM100,000 bagi kontraktor kelas G1 pada hari ini dan selebihnya akan dilaksanakan pada fasa kedua dalam masa terdekat.

“Hari ini saya telah merasmikan Majlis Cabutan Kerja Undi di bawah Peruntukan  Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA) bagi kerja-kerja pemulihan sungai untuk mengurangkan risiko bencana banjir di Negeri Terengganu. 

“Pelaksanaan perolehan kerja secara undian ini adalah bagi mempercepatkan pelaksanaan kerja disamping membantu kontraktor bumiputera Kelas G1 dalam menjana semula ekonomi akibat daripada pandemik COVID-19,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Cabutan Kerja Undi Di Bawah Peruntukan Kementerian Alam Sekitar Dan Air Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2021 di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, hari ini. 

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti Dan Teknologi Hijau negeri, Ir. Saiful Azmi Suhaili serta Pengarah Jabatan Pengairan Dan Saliran Terengganu, Mohd Sor Othman.

Menurut Tuan Ibrahim, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM50 juta untuk kerja-kerja pemulihan sungai bagi mengurangkan risiko bencana banjir di seluruh negara bagi tahun 2021 selaras dengan hasrat utama kerajaan untuk melihat sektor ekonomi domestik terus digerakkan. 

“Saya percaya melalui kaedah pemilihan secara undian akan dapat memastikan bahawa proses pelantikan kontraktor dapat disempurnakan secara terbuka dan telus. 

“KASA akan bertindak tegas dalam perkara ini bagi meminimumkan bilangan projek sakit, termasuk menamatkan kontrak atau membuat penyenaraian hitam terhadap kontraktor yang gagal memenuhi syarat yang telah dipersetujui,” ujarnya.

Katanya, tawaran kerja untuk fasa pertama melibatkan negeri Johor yang telah diadakan pada 8 Mac lalu, negeri Terengganu (hari ini), diikuti dengan Kelantan, Pahang, Melaka, Kedah dan Perlis.

“Manakala, fasa Kedua pula melibatkan Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Labuan, Sabah dan Sarawak,” ujarnya.

Jelas beliau, pihaknya menjangkakan kerja-kerja pemuliharaan sungai dapat disiapkan dalam tempoh dua bulan selepas kontraktor berjaya mendapat projek terbabit menerusi proses undi yang dilakukan.