• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

RM9.46 Juta Peruntukan Bantuan Pakaian Sekolah Tahun Ini

KUALA TERENGGANU, 15 Mac- Sebanyak RM9.46 juta diperuntukan kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) untuk bantuan pakaian sekolah yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 86,000 pelajar tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, bantuan baju sekolah itu telah mula diagihkan awal Februari lalu.

"Daerah pertama yang memulakan agihan adalah daerah Marang iaitu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Limbat dan agihan terakhir ialah pada 15 Mac iaitu di DUN Permaisuri bagi daerah Setiu.

"Kaedah pembahagian bermula dengan proses pengumpulan data saiz dan kemaskini data oleh pihak Pusat Khidmat Masyarakat DUN (PKM) dengan kerjasama Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS).

"Kemudian data tersebut disalurkan kepada YPKT untuk proses penyediaan pakaian itu dan agihan dijalankan bersama PKM serta i-MITS di tempat yang telah ditetapkan oleh ADUN masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Zuraida Md Noor (Adun Wanita) yang mengemukakan soalan berkaitan perkembangan bantuan baju sekolah yang diuruskan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga dan apakah kaedah pembahagiannya.

Hanafiah berkata, mengenai permasalahan yang timbul selepas proses agihan iaitu berkaitan saiz yang tidak sesuai, ianya akan diuruskan oleh YPKT.

"Proses penukaran saiz ini akan dibuat selama sebulan bermula 14 Mac sehingga 14 April depan bertempat di PKM/i-MITS masing-masing. 

"Sebarang perubahan tempat penukaran boleh dibincangkan dan ditetapkan kemudian," katanya menjawab soalan tambahan Zuraida.

Sementara itu, bagi menjawab pertikaian Datuk Rozi Mamat (BN-Telemong) bahawa kaedah bantuan menggunakan saiz pakaian adalah kurang sesuai kerana hanya menguntungkan pihak pembekal sahaja, Hanafiah berkata itu kaedah terbaik mengambil kira keselesaan semua pihak ketika ini.

"Kalau nak bagi duit, kita tak pasti adakah ia akan digunakan untuk membeli pakaian sekolah atau sebaliknya. Kita menyambut baik sebarang cadangan atau saranan untuk menambah baik program ini pada masa akan datang," katanya.