• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Road To Maha 2018 Zon Timur Beri Penghormatan Kepada Wanita



Road To MAHA (Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan MalaysiaZon Timur berjaya memberi penghormatan kepada golongan wanita melalui penganjuran Karnival Usahawanita 2018 yang dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek, semalam.

Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, langkah yang telah diambil oleh pihak kementerian pertanian itu berjaya mengangkat martabat kaum wanita secara tidak langsung dalam sektor tersebut.

“Road to MAHA pada kali ini telah memberi satu penghormatan kepada kaum wanita dan ianya juga merupakan satu perancangan dan langkah yang amat bijak kerana mensasarkan golongan ini sebagai satu era baru yang mampu menjana kekayaan kepada negara.

“Langkah ini diibaratkan impian yang menjadi kenyataan kerana wanita adalah kumpulan sasar sektor pertanian dan usaha mengangkat pendapatan serta kesejahteraan mereka dalam semua aspek di bidang ini adalah sangat wajar," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Road to MAHA 2018 di Tapak Karnival Usahawanita, Pantai Kuala Kerteh, Kemaman, yang dihadiri hampir 15,000 pengunjung yang terdiri dari penduduk Kerteh dan sekitar Kemaman.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian, Dato’ Sri Dr Ismail Bakar, Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Dato’ Seri Ahmad Said, Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam dan Teknologi Hijau Negeri, Ir. Rosli Othman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.



Menurut Shahrizat, dengan adanya karnival seperti ini ia juga memberi satu penghormatan setinggi-tingginya kepada kaum wanita
dan ia juga merupakan contoh kejayan Barisan Nasional (BN) kerana parti ini tidak pernah sesekali mengetepikan wanita.

Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia berkata, pergerakan itu akan terus memperjuangkan kebajikan wanita di negara ini supaya setiap daripadanya mempunyai mampu mempunyai 'dompet' sendiri untuk kehidupan yang lebih terjamin.

Sementara itu, Ahmad Shabery meminta sekurang-kurangnya RM250 juta daripada keseluruhan dana RM500 juta Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) diperuntukkan kepada golongan wanita.

"Pihak kementerian akan memberi keutamaan kepada pembangunan usahawan wanita sebagai salah satu usaha menjayakan slogan 'Segalanya Wanita' dan lebih banyak lagi program akan dilaksanakan nanti bagi menjayakannya," katanya.

Tag: