• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Rohaimi Dilantik Ketua Polis Terengganu  Baharu

KUALA TERENGGANU, 4 Jun - Timbalan Ketua Polis Terengganu, Dato' Rohaimi Md Isa secara rasminya dilantik sebagai Ketua Polis Terengganu yang baharu berkuatkuasa pada 3 Jun.

Pelantikan itu bagi menggantikan Dato' Roslee Chik yang dinaikkan pangkat sebagai Komisioner Polis dengan menjawat jawatan Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Pembangunan dan Penyelidikan) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Terdahulu Majlis Serah Terima Tugas antara kedua-dua pihak itu berlangsung di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, semalam.

Majlis serah terima tugas Ketua Polis Terengganu baharu di antara Rohaimi dan Roslee disaksikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husin @ Abd Rasid.

Menerusi satu kenyataan, Rohaimi mengucapkan tahniah kepada Roslee atas kenaikan pangkat berkenaan.

"Syabas dan tahniah kepada Dato' Roslee Chik atas kenaikan pangkat ke Bukit Aman," katanya.

Rohaimi turut mengucapkan terima kasih kepada pengamal media atas sokongan dan kerjasama yang diberikan.

Selain itu, Majlis Serah Terima Tugas melibatkan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Terengganu turut dilakukan antara pengerusi, Datin Zainun Embong dengan Datin Azizah Malisa Ramli sambil disaksikan Pengerusi PERKEP Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datin Zainah Othman.

 


Tag: