‘Roller Barrier’ Mampu Kurangkan Kemalangan Maut

KUALA TERENGGANU, 25 Jun – Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir menggesa kerajaan, khususnya Kementerian Pengangkutan, agar segera melaksanakan sistem keselamatan jalan raya berteknologi ‘roller barrier’ di laluan-laluan berisiko tinggi sebagai langkah mengurangkan kadar kemalangan maut.

Menurut beliau, sistem keselamatan yang terbukti berkesan di negara seperti Korea Selatan itu wajar dipertimbangkan secara serius, khususnya susulan tragedi yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur–Barat baru-baru ini.

“Sejak beberapa tahun lalu, saya telah mengusulkan di Parlimen agar sistem penghadang jalan berasaskan teknologi roller barrier dipasang di kawasan ‘hotspot’ kemalangan.

“Sistem ini menggunakan silinder berputar daripada bahan elastik EVA (ethylene-vinyl acetate) untuk menyerap hentakan dan menukarkannya kepada gerakan berpusing, sekali gus mengawal arah kenderaan agar tidak terbalik atau melantun ke laluan bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial, hari ini.

Beliau turut memetik kajian yang menunjukkan sistem ini mampu mengurangkan kadar kemalangan maut sehingga 94 peratus di lokasi berisiko tinggi.

Sehubungan itu, beliau menekankan perlunya tindakan segera dan komitmen tuntas daripada kerajaan untuk memasang sistem ini di laluan berbukit, berselekoh tajam dan cerun berbahaya seperti Jalan Raya Timur–Barat yang telah meragut banyak nyawa.

Dalam pada itu, Shaharizukirnain mempersoalkan keutamaan kerajaan Madani yang hanya memperuntukkan RM30 juta untuk penaiktarafan laluan tersebut, sedangkan anggaran sebenar keperluan mencecah RM4 bilion setahun.

“RM30 juta itu hanyalah kurang daripada satu peratus daripada keperluan sebenar. Malangnya, pada masa sama, projek mega seperti Lebuhraya Pantai Timur Pulau Pinang bernilai RM10 bilion dan pelebaran Lebuhraya PLUS dilaksanakan dengan segera,” jelasnya.

Beliau menyifatkan ketidakseimbangan ini sebagai satu bentuk pengabaian terhadap laluan kritikal seperti Jalan Raya Timur–Barat yang saban tahun mencatatkan kemalangan maut.

Shaharizukirnain menegaskan agar tragedi ngeri ini tidak dilihat sekadar sebagai satu lagi angka statistik, sebaliknya menjadi titik tolak kepada pembaharuan menyeluruh dalam sistem keselamatan jalan raya negara.

“Anak-anak muda yang terkorban ini adalah amanah negara. Maka menjadi kewajipan kerajaan untuk bertindak pantas dan sistematik, sebelum lebih banyak nyawa menjadi korban," tambah beliau.


Tag: