KUALA LUMPUR, 27 Ogos– Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid hari ini mencadangkan agar hukuman rotan dikembalikan di sekolah sebagai langkah mengekang masalah disiplin dalam kalangan pelajar.
Menurut beliau, sistem sedia ada dilihat kurang berkesan kerana tindakan hanya diambil selepas aduan daripada ibu bapa dibuat, sedangkan gejala salah laku pelajar semakin meruncing.
“Saya mencadangkan supaya hukuman rotan kepada pelajar yang tidak berdisiplin diperkenalkan semula. Semasa zaman kita sekolah dahulu, hukuman rotan ada di sekolah. Tetapi hari ini nampaknya kementerian lebih mengutamakan pandangan ibu bapa,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berbahas dalam sidang Dewan Rakyat pada sesi pagi tadi yang menyentuh mengenai isu disiplin pelajar, kes buli serta peranan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Rosol juga menegaskan bahawa pendekatan mendidik perlu disertai dengan kaedah mendisiplinkan pelajar secara tegas agar gejala buli dan salah laku dapat dibendung lebih awal.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyokong usaha Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) bagi Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Komuniti yang membentangkan laporan mengenai isu disiplin dan buli di sekolah.
Cadangan itu bagaimanapun dijangka menimbulkan perbincangan lebih luas melibatkan pihak kementerian, ibu bapa, guru serta pakar pendidikan bagi memastikan keseimbangan antara aspek pendidikan, disiplin dan kebajikan pelajar.