• 15 Mei 2024 | 7 Zulkaedah 1445

Royalti : Janji Dibohongi, Akta Diperalat

Isu royalti Petroleum terus hangat dibahaskan di media sosial, sama ada daripada pihak penyokong parti pemerintah di Persekutuan ataupun sebaliknya., tidak ketinggalan pakar perlembagaan.

Semuanya bermula selepas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Parlimen pada Mac lalu mengatakan Kerajaan Persekutuan masih belum melunaskan sekurang-kurangnya RM700 juta royalti Terengganu.

Ia kemudiannya diakui oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang memberitahu, daripada anggaran terimaan lebih RM1.5 bilion, Kementerian Kewangan hanya membayar RM786 juta untuk Terengganu.

"Kerajaan Persekutuan kekal komited memastikan aliran tunai hasil petroleum diterima dikhususkan untuk tujuan pelaksanaan projek dan program untuk manfaat rakyat,” jelas Amir Hamzah menjawab pertanyaan Ahmad Samsuri.

Isu ini makin memuncak selepas Kerajaan Persekutuan masih berlengah untuk melunaskan hak Terengganu, akibatnya Kerajaan Terengganu meluluskan usul menolak Akta Laut Wilayah.

Penolakan itu dikatakan kerana akta berkenaan diperalat pihak tertentu di Putrajaya bagi menafikan royalti minyak yang diterima setiap tahun sebelum ini, walaupun selepas akta itu wujud dan atas nama lain bukan royalti.

Sebaik akta itu ditolak, ramai pula yang ‘melompat’ keluar termasuk Pejabat Perdana Menteri yang mengatakan Akta Laut Wilayah 2012 tetap berfungsi seperti biasa walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) menolaknya sebulat suara. 

Namun, apa yang menarik perhatian ramai adalah, ada pihak daripada kumpulan di Putrajaya bersuara menimbulkan persoalan kenapa selama 33 bulan PAS berada di dalam Kerajaan Persekutuan tiada usaha untuk menghapuskan akta tersebut sehingga boleh menghalang royalti disalur.

"Salah pemimpin PAS lah kerana tidak bertindak ‘membaiki’ akta itu," demikian maksud kenyataan itu.

Persoalan ini menarik untuk diteliti, kerana daripada suara itu ia ada maksud tersirat iaitu pengesahan Kerajaan Persekutuan memang menggunakan (memperalat) akta itu untuk tidak membayar royalti kepada rakyat Terengganu.

Sedangkan jika kita soroti bicara dan janji dalam sejarah lampau sebelum pemimpin yang ada di Putrajaya hari ini mendapat kuasa, lain bunyinya.

Pada Ogos 2012, iaitu selepas Akta Laut Wilayah 2012 berkuatkuasa, Ketua Pembangkang ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, royalti petroleum dan gas adalah 20 peratus dan itu diagihkan kepada negeri pengeluar minyak termasuk Terengganu.

“Tertakluk HANYA KEPADA SYARAT KEWANGAN PERATURAN ‘FINANCIAL PROCEDURE’, TIADA SYARAT LAIN YANG BOLEH DIKENAKAN oleh Kerajaan Persekutuan.

“Akta Petroleum sudah cukup jelas menetapkan bayaran tunai diberi kepada negeri 20 peratus seperti Sabah dan Sarawak diberi juga kepada Kelantan dan Terengganu,” kata Anwar.

Adakah kenyataan ‘tiada syarat lain yang boleh dikenakan oleh Kerajaan Persekutuan’ juga merujuk kepada maksud ‘Akta Laut Wilayah 2012’ oleh Kerajaan Persekutuan dalam hal ini?

Jika benar, kenapa sekarang lain pula nadanya. Kenapa pula akta itu tiba-tiba menjadi halangan untuk disalur royalti?

Untuk rekod juga, selepas kewujudan Akta Laut Wilayah 2012, bayaran royalti sebanyak lima peratus sebagaimana Perjanjian 1974 tetap disalur sehingga 2012.

Dalam pada itu, Pakar Perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof pula bersetuju dengan Kerajaan Terengganu yang mengatakan Akta Laut tidak boleh diguna untuk menyekat bayaran royalti kepada Terengganu.

"Akta Laut Wilayah 2012 sepatutnya tidak menjadi penghalang kepada hak royalti petroleum negeri. Peruntukan akta berkenaan mengecilkan sempadan negeri boleh dianggap tidak sah kerana bertentangan dengan Perlembagaan," tegasnya.

Muhammad Husaif Mamat,
K.Editor TRDI.


Tag: