Royalti Petroleum: “Bukan Mengemis, Tapi Menuntut Hak”

KUALA TERENGGANU, 17 April – Menteri Besar Terengganu tampil memperjelaskan isu royalti petroleum yang sekian lama menjadi polemik, khususnya apabila segelintir pihak mempertikaikan perjuangan Kerajaan Negeri dalam menuntut hak tersebut.

Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau menepis tohmahan bahawa tuntutan royalti bermaksud Terengganu terlalu bergantung kepada Kerajaan Persekutuan, malah menyifatkan dakwaan sedemikian sebagai cubaan memperlekeh usaha negeri.

“Royalti petroleum adalah hasil hak Negeri, bukan ihsan sesiapa,” jelas beliau sambil menambah bahawa masih ada yang tidak faham atau sengaja tidak mahu faham tentang konsep federalisme.

Beliau turut membidas pihak yang mempertikai usaha kerajaan negeri dalam menjana hasil selain royalti, kononnya Terengganu tiada inisiatif untuk berdikari.

“Rekod kewangan jelas membuktikan hasil cukai dan bukan cukai negeri terus meningkat,” katanya sambil berkongsi data bahawa purata hasil negeri meningkat dari RM189.1 juta (2008-2013) kepada RM256.0 juta (2018-2024).

Dalam tempoh sama tegas beliau, kebergantungan terhadap royalti turut menunjukkan trend penurunan, daripada 83.9 peratus bagi tahun 2008 hingga 2013 kepada 75.7 peratus (2018-2024).

“Bermula 2018, kebergantungan terhadap royalti semakin berkurang. Maka, mengapa pula kami dituduh tidak berusaha?,” ujarnya. 

Tambahnya lagi, pertumbuhan ekonomi negeri turut berkembang pesat, mencecah purata RM35.9 bilion dalam tempoh 2018 hingga 2023 walaupun berdepan cabaran besar akibat pandemik COVID-19 dan konflik geopolitik global.


Tag: