• 17 Mei 2024 | 9 Zulkaedah 1445

RTB Darat Beri Sinar Buat Penduduk Minda


Ghazali sedang memberikan penerangan tentang RTB kepada sebahagian penduduk Kampung Minda yang hadir di sesi taklimat.
Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 14 Januari - Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Darat menjadi harapan penduduk Kampung Minda untuk diusahakan bagi menjana sumber pendapatan sampingan mereka.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, RTB  Darat merupakan projek yang telah diangkat semula pada September tahun lepas.

Katanya, RTB merupakan pengagihan lot tanah secara adil.

"Alhamdulillah, walaupun baru diangkat permohonan, namun tindak balas dari Pentadbir Tanah Daerah (PTD) Dungun begitu cepat dalam proses bagi mendapatkan geran.

"Secara tidak langsung ianya telah memberi sinar harapan kepada penduduk di sini, yang amat berhajat bagi memiliki tanah untuk bercucuk tanam," jelasnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita, selepas taklimat RTB berkenaan, di Kampung Minda, di sini hari ini.

Ghazali berkata, tanah yang bakal diperoleh perlu diusaha dengan bersungguh-sungguh dan bukannya mempunyai niat untuk menjual semula terutama kepada anak-anak muda yang memohon.

"Kita sedia maklum bahawa rakyat Terengganu semakin bertambah, sedangkan tanah tidak bertambah.

"Lot tanah bagi RTB pertanian untuk tanaman kontang adalah seluas satu hektar, manakala bagi getah dan sawit adalah dua hektar dan manakala bagi perumahan pula ialah satu hektar dibahagi empat," katanya.

Walau bagaimanapun, syarat-syarat kelayakan bagi memohon RTB berkenaan adalah tertakluk pada dasar tanah kerajaan negeri.

Tag: