• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Ruane-TATI Dan TWI Jalin Kerjasama

 

 

KUALA TERENGGANU, 8 September - Perjanjian persefahaman (MoU) di antara Ruane-TATI Sdn Bhd dan TWI Technology (S.E.Asia) Sdn Bhd membuka satu lembaran baharu dalam industri di Terengganu.

Pengerusi Lembaga Pengarah Ruane-TATI Sdn Bhd, Alias Harun berkata kerjasama ini adalah amat penting bagi mencapai matlamat untuk memenuhi permintaan Industri di kedua-dua pihak.

"Ruane-TATI  sebagai sebuah pusat yang melahirkan pakar-pakar Ujian Tanpa Musnah atau Non-Destructive Testing (NDT), sudah semestinya bersedia untuk melangkah lebih jauh dengan menawarkan perkhidmatan persijilan yang baharu kepada penduduk setempat dan sekitar. 

"Manakala TWI adalah juga seperti syarikat-syarikat NDT yang sentiasa berharap untuk menaiktaraf penduduk-penduduk di pantai timur khususnya kepada satu kualiti sijil profesional tahap tinggi iaitu CSWIP (Certification Scheme for Welding and Inspection Personnel (UK, non-destructive testing personnel) yang diiktiraf oleh TWI UK dan kebanyakan negara di dunia," katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Menandatangani MoU Antara Ruane-TATI dan TWI Technology di Damai Lounge, U2, Wisma Darul Iman di sini hari ini.
 
Pada majlis tersebut, dokumen MoU telah ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Pengarah RTSB, Alias Harun, yang mewakili Ruane-TATI Sdn Bhd, disaksikan oleh Pengurus Besar Ruane-TATI Sdn Bhd Ts. Dr. Mukhtar Malik,  sementara Penolong Pengurus Wilayah mewakili pihak TWI Technology (S.E.Asia) Sdn Bhd, Mr. Dietmar Kok, dan disaksikan oleh Ghazale Hashim selaku Pengarah TWI Technology (S.E.Asia) Sdn Bhd. 

Katanya, antara intipati MoU ini ialah Ruane-TATI akan memastikan Latihan dan Peperiksaan berjalan  lancar di Ruane-TATI dengan menyediakan semua kelas, peralatan dan kebajikan para pelajar dan mendapat pengiktirafan daripada The Welding Institute United Kingdom (TWI UK).

"Sementara itu, pihak TWI Technology pula akan melakukan kerja-kerja pemasaran dan menyediakan menghantar tenaga pengajar dan pemeriksa yang bertauliah serta keperluan peperiksaan.

"Oleh sebab itu, saya berharap kerjasama ini akan dapat diteruskan untuk jangkamasa yang panjang kerana ia dapat memberi manfaat dan dalam masa yang sama menguntungkan kedua-dua pihak iaitu TWI Technology dan juga Ruane-TATI," ujarnya.

 


Tag: