Mahkamah Tinggi Syariah Tangguh Hukuman Sebat Pesalah Khalwat
SETIU, 3 Februari – “Rugi kita orang tempatan jika tidak ambil peluang kerja di sini,” kata seorang penuai kelapa sawit TDM Plantation Sdn. Bhd. (TDMP) sambil mengalu-alukan anak Terengganu merebut 800 peluang pekerjaan di bawah anak syarikat milik kerajaan negeri, TDM.
Bekerja di Ladang Jaya bermula empat bulan lalu, Mohd Nazeri Sidek, 45 berkata, pengalaman kerjanya sebagai ‘harvester’ amat positif berbanding di sektor perladangan lain dengan pelbagai faedah disediakan oleh TDMP.
“Walaupun tanggapan orang terhadap pekerjaan ini adalah ia jauh daripada kemudahan, namun di sini cukup lengkap dengan pelbagai prasarana, penginapan selesa, surau, kedai runcit dan segala keperluan sentiasa ada.
“Berbanding dengan kerja kampung lain, elaun di sini agak tinggi dan memang berbaloi, pendapatan saya di sini sebagai penuai adalah RM2,000, jika kutip buah kelapa sawit atau ‘pruning’ ganjaran akan ditambah lagi (bergantung kepada tenaga),” katanya ketika ditemu bual pemberita.
Jelasnya, persepsi anak tempatan tidak mampu bekerja di ladang perlu dibuang kerana hasilnya yang cukup lumayan.
“Kita sudah lalui sendiri, sebelum ini orang asing memonopoli kerja ini, namun saya cukup bangga dapat bekerja di TDMP dan penduduk tempatan tidak patut melepas peluang ini,” katanya lagi.
Bagi seorang warga Selangor, Abi Suffian Abdul Mutalib, 35, dia berkecimpung dalam sektor pertanian tersebut kerana faedah pekerja yang disediakan serta pembayaran tinggi.
“Saya paling tinggi dapat RM4,000 sebulan, di samping itu, saya turut didedahkan dengan cara-cara pengurusan ladang, standard dan cara penyusunan, cara potongan dan kutipan sistematik kelapa sawit.
“Bagi saya yang datang dari jauh, rugilah kepada anak jati disini tidak merebut kekosongan yang ada di ladang TDMP.
“Ini kerana ilmu dan ganjaran serta semangat kerja tinggi bersama pihak pengurusan TDMP amat baik, dan banyak perkara saya telah belajar dalam bidang perladangan ini,” katanya yang juga bapa kepada seorang anak.
Sementara itu, Pengarah Eksekutifnya TDMP Najman Kamaruddin menjelaskan, pihaknya sedang merancakkan proses mekanisasi di kawasan operasinya sebagai kemudahan kepada pekerja dan penambahbaikkan produktiviti syarikat itu.
Katanya, penggunaan jentera moden tersebut merupakan usaha pihaknya bagi meningkatkan lagi kadar efisyen di dua zon ladangnya disamping memodenkan suasana kerja di sektor pertanian tersebut.
“Sehubungan dengan itu, TDMP berhasrat menarik minat penduduk rakyat Terengganu yang berkeinginan menerokai bidang kerja bersama kami dengan pembukaan sehingga 800 kekosongan di 13 ladang.
“Persepsi orang luar terhadap pekerjaan di ladang sawit ini sebagai kerja lekeh dan hanya layak kepada warga asing, namun ini pandangan silap, dengan penuai kita sedia ada yang mampu menjana pendapatan sehingga RM3,000 dan RM4,000 sebulan
“Selain latihan, penginapan dan kesihatan, pihak syarikat turut memberikan pakej gaji yang kompetitif, bayaran insentif, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), cuti tahunan, elaun dan kemudahan pengangkutan untuk anak-anak ke sekolah di samping pelbagai manfaat lain kepada pekerja ladang," ujar Najman.
Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan pekerjaan kosong disediakan TDM Berhad boleh merujuk paparan iklan di bawah :