• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

Rumah Dinaiki Air, Syukriah Tetap Semangat Belajar

MARANG, 3 Disember - Dugaan dan cabaran kali pertama berhadapan dengan musibah banjir tidak pernah melunturkan semangat seorang pelajar untuk mengikuti kelas secara atas talian di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Nur Syukriah Roning, 22, antara mangsa banjir yang berada di PPS Sekolah Kebangsaan Rusila yang sedang menduduki peperiksaan  pertengahan semester tiga, Universiti Teknikal Malaysia Melaka

Pelajar kejuruteraan Pembuatan tahun tiga itu berkata dia tetap melaksanakan tugasnya untuk belajar walaupun terpaksa meneruskan pembelajaran tanpa kelengkapan utama seperti buku-buku rujukan dan komputer.

Menurutnya yang bercita-cita untuk menjadi seorang Jurutera, fokusnya untuk belajar  tidak hilang malah cuba tetap cekal meneruskan sesi kuliah bersama pensyarah dan rakan sekelas lain.

"Saya terpaksa gunakan telefon bimbit  untuk membuat ulangkaji, memang sukar kerana liputan agak terhad kat PPS tapi tetap teruskan untuk peperiksaan subjek ketiga iaitu Bahasa Melayu pada Selasa hadapan.

"Walaupun dalam keadaan kelam kabut, saya terus cekalkan hati serta kuat semangat kerana perlu menghadapi peperiksaan dan bencana ini memberi saya semangat supaya berusaha gigih untuk mencapai keputusan yang cemerlang," ujarnya ketika ditemui pemberita di sini, hari 
ini.

Anak bungsu dari tujuh beradik itu sempat menceritakan saat rumahnya dinaiki air secara mendadak menyebabkan hanya mampu mencapai apa yang perlu.

"Saya cuma sempat ambil dua pasang baju sahaja sebab kami diarah untuk berpindah segera apabila hujan makin lebat dan paras air naik dengan cepat.

"Segalanya berlaku dengan pantas, dan untuk kembali ke rumah, saya perlu mengharungi air separas pinggang jika ingin mengambil barang-barang keperluan," tambahnya.