• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Rumah Enam Mangsa Ribut Siap Dibaiki Dalam Tempoh Dua Hari

DUNGUN, 24 Jun -Rumah enam keluarga yang menjadi mangsa ribut di Kampung Wa  baru-baru ini siap dibaiki tidak sampai dua hari selepas kejadian.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Wa, Abdul Wahab Idris berkata, semua mangsa yang terdiri daripada warga emas, ibu dan bapa tunggal itu amat berpuas hati dan bersyukur apabila wakil rakyat mengambil tindakan segera membaiki rumah mereka.

"Memang mereka terharu kecaknaan YB Cikgu Alias, selepas kejadian pada 3.30 petang Isnin lalu, wakil Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang datang untuk menilai kerosakan kemudian keesokan harinya barang sampai. 

"Pihak PKM ADUN Rantau Abang juga menghantar tukang rumah untuk kerja-kerja membaik pulih segera dan dilakukan dengan bantuan orang kampung, jadi empat buah rumah dapat disiapkan pada hari Selasa," jelasnya selepas dihubungi oleh wakil Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Sementara itu seorang warga emas, Bariah Ahmad, 71, melahirkan rasa syukur setelah kerosakan atap rumahnya yang diterbangkan ribut siap dibaiki. 

"Alhamdulillah, cepat je baiki atap rumah mak cik, taklah bimbang kalau hujan lebat turun. Masa lepas berlaku tu mari jugak bimbang, macamana nak baiki tapi YB Cikgu Alias tolong semua sehingga siap," katanya. 

Menceritakan kejadian tersebut, Bariah berkata, sebelum itu atap rumah anaknya, Zainab Abu Bakar, 34 seorang ibu tunggal, yang tinggal berhampiran diterbangkan angin.

"Anak berlari ketakutan dalam hujan lebat ke rumah makcik kerana atap rumahnya telah diterbangkan angin. 

"Memang takut sungguh masa tu, dengan bunyi angin yang sangat kuat, hujan lebat dan lepas itu nampak angin macam angkat atap rumah, habis satu rumah dimasuki air hujan, tapi alhamdulillah kami semua selamat," ujarnya lagi. 


Tag: