• 29 Nov 2021 | 23 Rabiul Akhir 1443

Rumah Rakit Cik Na, Santai Atas Air

 

Sekiranya ke Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, pastinya seseorang itu hanya tertumpu kepada rumah bot (houseboat) tetapi kini boleh beralih ke rumah rakit untuk bercuti dan melakukan pelbagai aktiviti atas air.

Perkhidmatan itu disediakan beberapa pengusaha rumah rakit  dengan tawaran harga pakej yang sangat berpatutan berbanding sewaan  rumah bot yang perlu dibayar  secara pukal.

Turut menawarkan perkhidmatan ‘ala-ala’ rumah atas itu adalah Rumah Rakit Cik Na Kenyir milik  Zanariah Jafaar yang mengusahakannya bersama suami Abd Razak A Bakar  sambil dibantu anak-anak.

Istimewanya rumah itu, setiap tetamu atau pelancong yang bertandang akan disambut mesra oleh pemilik.

Dihidang makanan tengahari  berasaskan ikan sungai iaitu ikan lampam, baung, sebarau, seluang yang dimasak Cik Na.

Kemudianya memulakan aktiviti  sama ada mengikuti pakej yang ditawarkan atau di atas kreativiti sendiri.

Antaranya  tetamu boleh mengikuti trip ke lubuk memancing, pengembaraan di sungai, mandi-manda di kawasan air terjun dan menikmati pemandangan di sekitar Tasik Kenyir dan menyelusuri sungai dengan menaiki bot.

Ada juga yang bertandang ke rumah itu  semata-mata untuk memancing, menganjurkan hari keluarga dan barbeku.

Cik Na berkata, tercetus idea untuk membina rumah rakit secara bergotong-royong  dua tahun lalu adalah hanya suka-suka, selain gemar mencari ketenangan di tasik itu

 

 “Awal pembinaan daripada satu bilik dan satu bilik air itu, kini rumah rakit kami  miliki enam bilik, dua bilik air, pelantar memancing dan ruang tamu.

“Semua kemudahan itu mampu menampung tetamu  20 hingga 30 tetamu pada satu-satu masa.

“Kebanyakan mereka yang pernah berkunjung sama ada dari  luar Terengganu atau luar negara pasti akan kembali menginap, kemungkinan berpuas hati dengan layanan dan perkhidmatan, selain mengemari suasana di Tasik Kenyir,”katannya.

Menurut Cik Na, tiada perbezaan ketara  dengan perkhidmatan rumah rakit lain.

“Kelainannya mungkin daripada segi layanan kerana kami di sini bermula daripada tugas menyambut tetamu, memasak, menghidang, membersih dan  memandu bot, semuanya  di kalangan ahli keluarga,”katanya.

Pakej 1  (minima 8 orang) – RM75 satu kepala
Pakej 2  (minima 10 orang) – RM60  satu kepala
Pakej 3  (minima 12  orang) – RM50 satu kepala
Pakej 4  (minima 18 orang) – RM40 satu kepala
Jarak perjalanan dari pekan Kuala-Berang – Rumah Rakit Cikna-  40 kilometer
Jika berminat sila hubungi talian 019- 914 5964

 


Tag: