• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Rumah Siap Dibaiki, 100 Keluarga Mangsa Ribut Terharu

SETIU, 14 September – Sekitar 100 keluarga yang menjadi mangsa ribut di Batu Rakit baru-baru ini menerima khabar gembira selepas rumah mereka siap dibaiki tidak sampai dua hari selepas kejadian.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pagar Besi, Rozi Mohd Nor berkata, semua mangsa yang terdiri daripada warga emas, ibu serta bapa tunggal itu amat berpuas hati dan bersyukur apabila Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail mengambil tindakan segera membaiki rumah mereka.

"Memang mereka terharu kecaknaan Pegawai Penyelaras, selepas kejadian pada 7 malam khamis lalu, wakil Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Pegawai Penyelaras Batu Rakit datang untuk menilai kerosakan pada keesokan harinya.

"Pihak PKM DUN Batu Rakit juga menghantar tukang rumah untuk kerja-kerja membaik pulih segera dan dilakukan dengan bantuan orang kampung, jadi 80 buah rumah dapat disiapkan pada hari Jumaat dan Sabtu,” katanya.

Jelasnya selepas dihubungi oleh pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) baru-baru ini.

Sementara itu seorang warga emas, Bariah Ahmad, 57, melahirkan rasa syukur setelah kerosakan atap rumahnya yang diterbangkan ribut siap dibaiki. 

"Alhamdulillah, cepat pihak PKM DUN membaiki atap rumah mak cik, taklah bimbang kalau hujan lebat turun. 

“Selepas kejadian mak cik bimbang, fikir macam mana nak baiki tapi Shafizi dan JPKK tolong baiki semua sehingga siap," katanya. 

Bercakap mengenai kejadian ribut itu, bariah berkata, ketika itu dia sangat takut kerana ribut sangat kuat dan berlaku dengan cepat.

"Memang takut sungguh masa tu, dengan bunyi angin yang sangat kuat, hujan lebat dan lepas itu nampak angin macam angkat atap rumah, habis satu rumah dimasuki air hujan, tapi alhamdulillah kami semua selamat," ujarnya lagi.


Tag: