• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Rumah Tenggelam Dalam Tempoh Kuarantin

KEMAMAN, 7 Mac – Satu keluarga di Kampung Teladas reda dengan ketentuan Allah apabila hampir seluruh barang dan perabot musnah dalam bencana banjir baru-baru ini. 

Ketika banjir melanda, Mohd Asman Kasman, 52, dan keluarganya ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Air Putih sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) bagi pesakit COVID-19 hingga tamat tempoh kuarantin.

“Tiada satu pun yang sempat kami selamatkan kerana perlu menjalani kuarantin.

“Setelah tamat kuarantin, air banjir sudah surut maka kini proses pembersihan dan pemilihan barang masih berjalan,” katanya kepada pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman sewaktu sesi ziarah Menteri Besar Terengganu ke Kampung Teladas.

Asman berkata, Sungai Kampung Teladas merupakan penanda bagi penduduk kampung bersiap siaga sekiranya limpahan sungai berlaku bagi tindakan pemindahan.

Asman sekeluarga kini berteduh di rumah ibunya setelah rumahnya tenggelam hingga ke ketinggian siling dalam banjir tersebut. 

Dalam pada itu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut meluangkan masa menziarahi mangsa banjir dan menyampaikan bantuan kepada mereka selepas sesi Dialog Bersama Mahasiswa bagi Penerima Skim Pelajar Cemerlang (SPC) Yayasan Terengganu di Darul Iman Training Centre.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat mengiringi menteri besar bagi menyantuni mangsa banjir. 

Sekitar hampir 259 mangsa banjir (76 keluarga) Kampung Teladas dipindahkan ke PPS Dewan Orang Ramai (DOR) Kampung Teladas kerana terkesan dengan bencana itu.

 


Tag: