• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Rumah Terbakar, Duit Dalam Surah Yasin Tidak Hangus

Oleh : Aziz Hambali

MARANG, 29 Jun – Sejumlah wang yang diselitkan dalam surah Yasin dan ditempatkan  dalam almari di sebuah bilik tidak hangus walaupun rumah yang didiami tiga beranak itu terbakar secara keseluruhannya.

Mangsa kebakaran, Azizah Muda 60, berkata  ketika menerima perkhabaran daripada anak yang tinggal bersebelahan kira-kira jam 11.40 pagi itu,  dia hanya berfikir,  duit raya pemberian anak-anak dan duit  kutu itu pastinya  hangus.

“Untuk melegakan hati yang sedih dan rasa terkilan, saya  perlu bersabar, selain menganggapnya sebagai tiada rezeki tanpa berusaha mencari di lokasi yang menempatkan duit itu.

“Dengan kuasa Allah S.W.T, rezeki saya masih ada, bukan saya duit tidak hangus malah barangan  kemas yang diletakkan ditempat sama juga masih elok, tidak terbakar dan perkara itu dimaklumkan oleh pihak Bomba sebaik selesai memandam kebakaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman, di lokasi kejadian di Kg. Baru Rhu Muda, di sini, petang semalam.

Katanya,  ketika kejadian, dia bersama anak dan seorang cucu  baru saja meninggalkan rumah kira-kira 15 minit untuk ke rumah anak yang tinggal di Kampung Gong Chempedak.

“Saya panjatkan penuh kesyukuran, walaupun barangan berharga lain tidak sempat diselamatkan,  masih ada terselit rezeki, selain umur saya, anak dan cucu yang tinggal bersama masih panjang.

“Pada masa sama, mahu mengucapkan pujian dan tahniah kepada Bomba di atas sikap jujur tidak mengambil kesempatan  dengan penemuan duit yang belum sempat dimasukkan ke dalam bank,”katanya.

Sementara itu, beberapa agensi terbabit hadir meninjau keadaan rumah sekeluarga dan menghulurkan bantuan segera dari segi kewangan, dan juga barang keperluan asas.

Antaranya adalah Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Marang, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Marang dan MAIDAM Marang serta wakil Ahli Parlimen Marang, Cikgu Haron Yusof.