• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 22 Oktober – Sebuah rumah di Lorong Hj. Da, Kg. Che Kundur dikatakan terbakar gara-gara pemiliknya terlupa untuk mematikan api di dapur gas ketika menjerang air.

Mangsa, Tengku Inong Tengku Ismail, 66, memaklumkan ketika kejadian berlaku beliau bersama dua orang cucunya keluar ke kedai gunting rambut yang berhampiran.

“Selepas masak air, saya bawa cucu saya ke kedai untuk gunting rambut. Apabila saya balik ke rumah, saya terkejut melihat api sudah marak,” katanya kepada pemberita.

Sebanyak tiga buah keluarga terlibat dalam tragedi kebakaran ini dan membabitkan 17 orang mangsa kesemuanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar berkata, pihak bomba mendapat panggilan pada jam 6.04 petang dan tiba di lokasi kejadian pada 6.12 petang.

"Kita mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengawal api daripada merebak ke rumah berhampiran dengan kebakaran.

"Kebakaran itu menyebabkan sebuah rumah musnah seratus peratus manakala sebuah lagi musnah hampir 30 peratus. Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.


Tag: