• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Rumput Napier Kukuh Industri Ternakan Terengganu

Dr. Azman melakukan lawatan kerja ke ladang rumput napier yang terletak di Kampung Kuala Ping, hari ini.
HULU TERENGGANU, 2 Januari - Kerajaan negeri melalui Terengganu Agrotech Development Corp Sdn.Bhd (TADC) kini dalam perangkaan untuk meningkatkan hasil pengeluaran rumput napier bagi memenuhi permintaan industri makanan ternakan yang semakin berkembang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, pihaknya sedang merangka bagaimana untuk memanfaatkan secara optimum sumber yang ada berdasarkan keluasan dengan permintaan daripada pelanggan.

"Kita dapat lihat bagaimana industri bekalan makanan ternakan berasaskan napier boleh pergi jauh cuma memerlukan sedikit penambahbaikan supaya ianya mampu berkembang.

"Kalau tengok apa yang berlaku sekarang, penggunaan manual untuk memotong rumput dan meracik menyebabkan pengeluaran terhad sehinggakan ada kawasan ladang terbiar sehingga rumput menjadi tua dan tidak bermanfaat," katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Beliau yang juga  Pengerusi Lembaga Pengarah TADC berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja ke Ladang Rumput Napier di Kampung Kuala Ping, di sini hari ini.
Dr. Azman mendengar taklimat daripada Penyelia Ladang, Ab Rahman Munap tentang pemprosesan secara manual yang mereka lakukan untuk menghasilkan silaj.
Turut hadir, ahli-ahli lembaga pengarah TADC dan Pengarah UPDI, Mohd Soud Said.

Menurutnya lagi, TADC kini dalam perancangan menggunakan teknologi yang lebih moden iaitu menggunakan mesin menuai (harvester) yang mampu memotong rumput di kawasan yang lebih luas dalam satu hari termasuk meracik.

"Permint sebagai syarikat induk kepada TADC  akan menyediakan peruntukan dalam masa terdekat untuk membeli mesin ini supaya kita dapat hasil yang lebih banyak.

"Jika kita lihat pengeluaran sekarang mampu menghasilkan 30 tan rumput napier dalam sebulan dengan tenaga manual tetapi dengan adanya mesin ini, ia akan meningkat kepada 80 tan sebulan," ujarnya.


Projek di Kuala Ping ini dimulakan pada tahun 2016 dengan memfokuskan pembangunan ladang napier seluas 22 hektar bagi menampung keperluan makanan ternakan di dalam negeri.

Secara keseluruhannya, projek ini akan mengukuhkan sumber kewangan  anak syarikat kerajaan negeri (GLC) melalui pembangunan bekalan tanaman ternakan dan dalam masa yang sama menjadi pemain dalam industri ini.





Tag: